Halaman

04 July 2013

Kerajaan negeri akan panggil pulang pelajar di Mesir jika keselamatan mereka terancam

Oleh: Noraini Jusoh

Berikutan pergolakan yang berlaku di Mesir pada masa ini, kerajaan negeri akan memanggil pulang pelajar Terengganu yang menuntut di sana sekiranya keselamatan mereka terancam.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato' Haji Mazlan Ngah berkata, kini terdapat kira-kira 300 pelajar tajaan Yayasan Terengganu yang kebanyakannya belajar di Universiti Al-Azhar, Iskandariah dan Mansoura.

Kerajaan Terengganu akan memanggil pulang pelajarnya di Mesir sekiranya pergolakan terus berlaku di Mesir. - (Gambar hiasan)
"Sejak dua tahun lepas, pihak Yayasan Terengganu tidak lagi menghantar pelajar baharu ke Mesir.

"Yang ada di sana cuma pelajar lama yang berada di tahun tiga hingga tahun lima yang menuntut dalam pelbagai bidang termasuk syariah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa diminta mengulas mengenai keselamatan pelajar-pelajar Terengganu di Mesir, semasa sidang media selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Yayasan Terengganu 2013 di Primula Beach Hotel, kelmarin.


Katanya, tindakan samada perlu memanggil pulang atau tidak pelajar-pelajar di Mesir bergantung kepada keputusan daripada kerajaan Persekutuan.

"Kalau kerajaan Persekutuan memutuskan untuk mereka pulang kita akan berbuat demikian, begitu juga jika keputusan sebaliknya, semuanya bergantung kepada kerajaan Persekutuan,” ujarnya.

Katanya, setakat ini tidak ada lagi aduan mengenai ancaman terhadap keselamatan pelajar-pelajar kita disana.

"Keselamatan mereka masih lagi terjamin kerana kebanyakannya tinggal di asrama yang kita sediakan,” ujanya.