Halaman

16 July 2013

Kekalkan kerusi BN di Kuala Besut – Tengku Zaihan

Laporan: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan 
Gambar: Harish Fadzillah 



“Kekalkan kerusi BN (Barisan Nasional) di Kuala Besut. Berilah peluang kepada saya untuk berkhidmat kepada adik kakak di kawasan ini,” begitu tertib tutur kata anak muda, bekas jurutera, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman yang juga merupakan calon BN bagi Pilihan Raya Kecil Kuala Besut.



Sewaktu bertemu dengan guru-guru Kelas Fardu Ain (Kafa) di Dewan Sivik Kampung Baru tengahari ini, beliau meminta mereka supaya memberi peluang kepadanya berkhidmat sebagai wakil rakyat di Kuala Besut.

Sesuai dengan ‘tag-line’ dalam kempen beliau, ‘Anak Ustaz, Profesional, Ore Muda’ Tengku Zaihan sangat tertib dan bersopan ketika bercakap atau menyampaikan ucapan, tetapi kata-katanya penuh berisi dan mempunyai visi yang jelas.

Sebagai seorang professional, beliau tidak melontarkan kata-kata tidak berisi, tanpa fakta dan kosong seperti yang dilakukan kebanyakan pemimpin muda dari parti pembangkang.

“Saya mahu menunaikan hajat pemimpin BN supaya membantu menyelesaikan masalah penduduk tempatan dan membangunkan kawasan ini jika dipilih sebagai wakil rakyat.

“Usah biarkan kawasan ini terlepas ke tangan pembangkang kerana jika ia berlaku sukar untuk kita mencorakkan sosio-ekonomi di kawasan ini,” katanya.

Justeru beliau meminta guru-guru Kafa supaya memberi sokongan penuh kepadanya dan turut menyamapaikan hasrat itu kepada keluarga, saudara-mara dan sahabat handai mereka.

Selepas majlis itu, Tengku Zaihan meneruskan kempen dari rumah ke rumah di sekitar kawasan DUN Kuala Besut bagi menyatakan hasratnya untuk berkhdimat kepada penduduk.

#prk kuala besut