Halaman

23 July 2013

Buruh bagai mimpi dapat rumah baru percuma

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan 
Gambar: Harisfadzillah 

“Tak sangka macam mimpi je…Rumah baru yang kami dapat loning (sekarang) jauh lebih selesa dan cantik berbanding rumah yang terbakar dulu,” kata Ramli Jusoh, seorang buruh dari Taman Tasik, Kampung Nail, yang mendapat rumah percuma daripada Kerajaan Pusat, petang ini.

Rumah bernilai RM50,000 itu mengandungi tiga bilik, dua bilik air, dapur dan ruang tamu yang amat selesa, bangunan batu dengan lama yang menarik.

“Kami semua tidak pernah mimpi pun untuk dapat rumah macam ni. Cukup selesa…raya ni paling bermakna kerana kami sekeluarga dapat beraya di rumah baru,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan kunci rumah yang disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, petang ini.



Kediaman yang dibina melalui program “National Blue Ocean Strategy (NBOS)” itu dibina hanya dalam tempoh tujuh hari oleh sepasukan anggota bomba.

Rumah berkenaan bukan saja cantik dan selesa, tetapi ia dibina daripada bahan yang boleh mengurangkan haba menyebabkan suhu di dalam rumah 20 peratus lebih sejuk berbanding cuaca di luar rumah.

Ramli merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Pusat yang meluluskan peruntukan bagi membina rumah berkenaan.

“Juga terima kasih kepada Menteri Besar yang sudi datang menyempurnkan majlis serah kunci dan berkunjung ke rumah saya hari ini,” ujarnya dengan wajah yang berseri-seri.

Beliau berkata, ini merupakan sebahagian nikmat yang disediakan Kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada masyarakat, khususnya golongan kurang bernasib baik.