Halaman

08 July 2013

Biar siapa calon, matlamat BN menang di Kuala Besut

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Petang esok calon Barisan Nasional (BN) akan diumumkan oleh Timbalan Presiden Umno merangkap Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Bagi jentera pilihan raya BN, siapa pun nama yang bakal diumumkan Timbalan Pengerusi BN Malaysia itu tidak penting kerana mereka sudah siap siaga untuk berjuang mempertahankan kerusi tersebut.

Berdasarkan rekod, Kuala Besut memang kubu kuat Umno dan BN di mana sepanjang proses pilihan raya diadakan, BN hanya kalah dua kali di kawasan berkenaan.

Calon BN kalah kepada Pas di kerusi itu pada tahun 1959 dan sekali lagi pada 1999 apabila tsunami politik berlaku, sekaligus menyebabkan tampuk pemerintahan negeri Terengganu jatuh ke tangan Pas.

Sejak itu, kerusi DUN Kuala Besut dimenangi oleh BN, malah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) calon BN di kawasan itu menang dengan majoriti antara yang tebesar di negeri Terengganu.

Pada PRU-13, penyandang kerusi itu, Dr A Rahman Mokhtar menewaskan calon Pas, Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.

Jika dikaji keputusan PRU-13 yang menyaksikan BN menyapu bersih keempat-empat kerusi DUN dan Parlimen, di bahagian Besut dan Setiu, peluang BN untuk menang PRK ini amat cerah.

Pemerhati politik berpendapat dengan kemenangan BN pada PRU-13 yang menyaksikan BN kekal memerintah negara dan negeri Terengganu, PRK Kuala Besut akan menjadi milik BN.

Jika ini berlaku hasrat Pas dan Pakatan Rakyat menafikan kemenangan BN di Terengganu yang diraih pada PRU-13, tidak akan tercapai.

Pastinya pengundi di Kuala Besut akan mempertahankan kedudukan BN sebagai Kerajaan Negeri Terengganu yang dipilih oleh rakyat pada pilihan raya umum lalu.

Malah, tidak mustahil jika calon BN yang akan bertanding pada PRK ini akan meraih majoriti yang lebih besar berbanding pilihan raya umum lalu.

Penduduk Kuala Besut tidak akan rela melihat kerusi itu terlepas ke tangan Pas dan memungkinkan berlakunya pembentukan kerajaan campuran atau pilihan raya semula bagi seluruh negeri Terengganu.