Halaman

13 June 2013

Wanita pengguna paling aktif - Isteri MB


Oleh; Esah Abdullah dan Noraini Jusoh

Semua masyarakat terutama wanita diminta sentiasa peka dengan keadaan sekeliling kerana mereka merupakan golongan pengguna paling aktif serta memain peranan utama dalam sektor ekonomi.

Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud berkata, peranan wanita sebagai pengurus di rumah memberi ruang yang besar dalam membuat pilihan untuk membuat penyediakan keperluan asas kepada keluarga dan rumahtangga.

“Wanita perlu membuat pertimbangan yang bijak untuk memilih diantara keperluan, kehendak, kemampuan dan keseimbangan nutrisi untuk keluarga,” katanya ketika berucap di majlis penutup Seminar Kepenggunaan Puspanita bersama PPDNKK Terengganu di Dewan Besar Wisma Darul Iman hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita)Terengganu, To’ Puan hajah Rohani Abdullah; Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Terengganu, Encik Samsul Badrin Mohsin dan Pengerusi Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Puan Reihana Abd Razak.

Katanya, sebagai pengguna wanita perlu tahu hak untuk mendapat keperluan asas, mendapat gantirugi, mendapat pendidikan pengguna serta hak mendapat perlindungan keselamatan.

“Wanita dan juga ibu merupakan tulang belakang sesebuah keluarga justeru perlulah berusaha untuk menambah ilmu dengan sentiasa mengikuti seminar seperti hari ini yang boleh menambah pengetahuan serta menjadi pengguna yang bijak,” katanya.

Beliau yang juga Penaung Puspanita Terengganu kemudiannya berharap aktiviti sebegini dapat disertai lebih ramai isteri dan suri rumah kepada anggota lelaki jabatan-jabatan dan juga daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.