Halaman

26 June 2013

Tiga belas pelajar Tesdec jalani kursus kimpalan di Perth, Australia

YB MOHD MAHDI MUSA
Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Seramai 13 pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec) sedang mengikuti kursus Kimpalan Bawah Air, di Perth Australia bagi memenuhi pasaran industri antarabangsa di sektor minyak dan gas sebaik tamat latihan itu bulan depan.

Pengerusi Lembaga Pengarah Tesdec, YB Mohd Mahdi Musa, berkata kesemua pelajar dari Terengganu itu menjalani kursus sepanjang tempoh tiga bulan termasuk dua bulan bagi tahap satu dan dua di Tesdec dan bulan terakhir di Australia (tahap tiga).

 “Sebagaimana diketahui, pekerjaan Kimpalan Bawah Air itu bukan sahaja dibayar gaji mengikut hari, mengikut bulan malah juga dibayar berdasarkan jam bekerja.

Sidang media yang diadakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Tesdec, YB Mohd Mahdi Musa.
“Pengimpal Bawah Air sememangnya satu pekerjaan yang bukan sahaja memenuhi pasaran negara, malah di dunia dan tidak ramai mereka yang berkemahiran di bidang tersebut di peringkat antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Taklimat Kepada Lembaga Pengarah Tesdec di Ri-Yaz Heritage marina Resort & Spa, Pulau Duyung, Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Tesdec, Haji Che Razali Adis. YB Mohd Mahdi berkata, pembiayaan kursus yang mendapat pengiktirafanLembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) berkenaan berjumlah RM55,000 setiap kursus.

 “Kejayaan pelatih dari Tesdec menempatkan diri dalam pasaran kerja di peringkat global itu mula membuka mata ramai pihak untuk mengiktiraf pusat kemahiran yang sudahpun melahirkan 30,000 tenaga kerja di pelbagai bidang kemahiran itu,” katanya.


Selain kursus Kimpalan Bawah Air, Tesdec satu-satunya pusat kemahiran di negara ini dan juga Asia yang menawarkan kursus Selaman Laut Dalam dengan kerjasama Skim Akreditasi Penyelam Australia (Adas), Australia yang turut mendapat pengiktirafan CIDB.

Program lain termasuk Bioteknologi, ISO 29001 untuk Industri Minyak dan Gas, ISO 50001 for Energy Management Systems dan Sistem Keselamatan teknologi Maklumat. Selain itu, Tesdec juga akan terus melaksanakan program T-Gas (Terengganu Graduate Attachment Scheme).

Katanya, bagi merealisasikan segala perancangan latihan ini, Tesdec juga sudah dan akan menjalinkan kerjasama dengan beberapa pihak yang terdiri daripada afensi kerajaan seperti SIRIM, Biotechcorp dan lain-lain.

“Sementara bagi menjamin piawaian dan kualiti latihan yang dilaksanakan mampu bersaing di pasaran global, Tesdec turut menjalinkan hubungan dengan pihak antarabangsa seperti TWI of UK (bidang kimpalan), Adas Austalia (bidang selaman komersial) dan sebagainya.