Halaman

27 June 2013

Terengganu komited bantu usahawan

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri komited dan pro aktif bagi memastikan pembangunan usahawan Bumiputera sentiasa seiring dengan kehendak semasa yang mencabar bagi memastikan usahawan di Terengganu sentiasa berdaya maju.

Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi Negeri, YB Roslee Daud, berkata bagi membantu usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), pelbagai bentuk bantuan disediakan, termasuk pembiayaan mikro.

 Katanya, sehingga kini, Majlis Amanah Rakyat (Mara) telah menyalurkan pinjaman berjumlah RM28.9 juta kepada 316 peserta di Terengganu, manakala sejumlah RM308 juta telah diluluskan kepada 27,187 usahawan mikro di negeri ini, di bawah skim pembiayaan Tekun Nasional.

“Bantuan kewangan yang diberikan kepada kelompok usahawan di Terengganu berjaya membantu meningkatkan daya saing produk dan perkhidmatan yang diuasahakan, menerusi pengurangkan kos dalam menjalankan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Minggu Program Karnival Jualan 1Malaysia, di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu hari ini.

 Hadir sama Ketua Eksekutif Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia, Dato’ Hafsah Hashim, Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Haji Azmi Razik dan beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.

Lebih 20,000 pengunjung dijangka hadir pada program yang berlangsung selama empat hari dan berakhir 30 Jun itu dan turut diselitkan puluhan program menarik.

 Terdapat 48 gerai pameran dan jualan yang melibatkan uasahawan dari pelbagai negeri iaitu, Pahang, Kelantan, Melaka, Pulau Pinang, Johor dan Selangor.

YB Roslee Daud, berkata usahawan yang memperoleh bantuan dan sokongan, nyata mampu bersaing meningkatkan kualiti produk masing-masing, kapasiti pengeluaran, kecekapan, keupayaan serta mencapai penjimatan kos.

 “Saya percaya dengan kekuatan dan petensi yang ada, kita boleh bersama-sama berganding bahU memastikan usahawan TerengganU diangkat martabatnya ke tahap lebih tinggi,” katanya.