Halaman

14 June 2013

Semua pengusaha satay Jabi akan disatukan dalam satu jenama




Oleh: Mohammad Ishak

Kesemua pengusaha sate di pekan Jabi, Besut akan disatukan di bawah satu jenama dalam usaha untuk mempopularkan Sate Jabi kepada mereka yang datang ke negeri Terengganu secara besar-besaran.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan (ADUN) Jabi, Mohd Iskandar Jaafar berkata, dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) kesemua pengusaha sate di pekan itu akan bekerjasama memajukan pengeluaran mereka dalam menjadikan perusahaan sate di Jabi sebagai satu lagi tarikan pelancongan di negeri ini.

“Untuk itu YPU akan membantu supaya produk sate yang bakal diusahakan secara kumpulan di Jabi itu nanti digemari peminat sate apabila datang ke Terengganu”, katanya selepas merasmikan Program Polis Bersama masyarakat di Kampung Kuala Kubang dekat sini.

.Menurutnya, sebelum ini pekan Jabi sudah memang terkenal sebagai pengeluar sate ayam dan sate daging yang terkenal terutamanya kepada penduduk negeri ini termasuk mereka yang melalui pekan Jabi daripada Kuala Terengganu ke Kota Baharau atau sebaliknya.

Namun begitu, katanya, sate dijual secara berasingan oleh pengusaha-pengusaha tertentu yang menyebabkan ianya tidak dapat diperkembangkan secara besar-besaran

"Jenama 'Sate Jabi' akan dicadangkan untuk digunakan oleh pengusaha berkenaan supaya secara tidak langsung dapat mengetengah dan mempromosikan Jabi sebagai lokasi yang menjadi pilihan jika ingin menikmati keenakan sate sebenar selain tarikan alam di sini,.

Sementara itu dalam perkembangan lain, beliau menyangkal laporan daripada pemimpin pembangkang yang melaporkan kawasan Jabi tidak selamat kepada penduduk kerana sering dilanda masalah jenayah yang tidak terkawal.

 “Ini merupakan satu andaian semata-mata kerana mengikut laporan polis dari awal januari hingga hujung Mei hanya terdapat 9 kes jenayah yang dilaporkan penduduk yang mana 6 daripadanya telah pun berjaya diselesaikan oleh polis”, katanya

Menurutnya, beliau sedih kerana dalam usaha polis menjalankan tanggungjawab bagi menjaga keamanan dan keselamatan, ada pihak yang cuba mengelirukan rakyat dengan cuba menakut-nakutkan penduduk dengan mengatakan yang tahap keselamatan di kawasan berkenaan amat rendah.