Halaman

11 June 2013

Polis giat jalankan proses pengambilan 4,000 anggota baru

Oleh: Aida Abd Rahman

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan proses pengambilan 4,000 anggota dan pegawai baru bagi mengisi kekosongan semua peringkat perjawatan dalam pasukan keselamatan itu.

Pengambilan itu antara janji kerajaan yang terkandung dalam Aku Janji Manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), yang dilancarkan April lalu.

Pengarah Pengurusan PDRM, Dato’ Mortadza Nazarene, berkata proses pengambilan dijalankan secara berperingkat melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan mereka yang terpilih akan dipanggil menghadiri temuduga di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) seluruh negara.

“Mulai tahun ini PDRM akan membuat pengambilan anggota baru pelbagai peringkat jawatan seramai 4,000 orang setahun seperti mana yang terkandung dalam Aku Janji manifesto kerajaan BN pada PRU13 baru-baru ini.

"Ketika ini PDRM sedang giat jalankan proses pengambilan anggota baru," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Penutup Kejohanan Ragbi Piala Ketua Polis Negara (KPN), di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), semalam.

Turut hadir, Ketua Polis Negeri, Dato’ Jamshah Mustapa dan Ketua Polis Pahang, Dato’ Sharifuddin Ab Ghani.

Dato’ Mortadza berkata, pihaknya menerima permohonan yang amat menggalakkan daripada orang ramai yang semakin berminat memasuki perkhidmatan polis sejak kebelakangan ini.

Katanya, perkembangan itu disebabkan beberapa penambahbaikan dan insentif yang diperkenalkan kerajaan kepada anggota dan pegawai PDRM seperti Sistem Saraan Baru (SSB) menyaksikan kenaikan gred gaji baru yang disetarakan dengan perkhidmatan awam lain.

Menurutnya, setiap tahun kira-kira 2,000 anggota PDRM bersara dan dengan pertambahan pengambilan anggota baru kepada 4,000 setahun, ia dapat meningkatkan lagi keberkesanan perkhidmatan itu terhadap masyarakat.

"Mereka yang dipilih selepas menjalani proses temuduga akan ditempatkan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL). Di Terengganu kita ada PULAPOL baru terletak di Dungun," katanya.