Halaman

11 June 2013

Pertandingan rekacipta bakal bersiaran di TV

Oleh; Esah Abdullah

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bercadang untuk mengadakan pertandingan rekacipta sebagai program realiti yang bersiaran di media elektronik (televesyen).

Naib Canselor UniSZA, Prof. Dr Yahya Ibrahim berkata, pihaknya berhasrat membawa program pertandingan rekacipta perabot dan rekacipta lain yang membabitkan penyertaan institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negara melalui siaran televesyen untuk tontonan umum.

Katanya, setiap kumpulan akan dibarisi lima peserta terdiri daripada pelajar serta seorang pensyarah dan akan mengenengahkan rekaan masing-masing bermula dari perngkat awal sehingga ciptaan itu siap.

"Penonton boleh melihat kreativiti setiap kumpulan yang menyertai pertandingan itu sehingga produk yang dicipta siap sepenuhnya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di  Majlis Pertandingan Reka Bentuk Perabot Mobili Zon Timur di UniSZA baru-baru ini.

Katanya, program ilmu ini boleh dijadikan satu rancangan yang boleh menarik penonton di TV dan undian juga boleh dibuka kepada penonton melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) seperti rancangan realiti hiburan yang ada sekarang.

“Saya sudah pun berbincang dengan penerbit di stesyen TV untuk merealisasikan hasrat itu dan mereka berminat mengenai cadangan berkenaan,” katanya

Kalau boleh katanya, perancangan itu dilaksanakan secepat mungkin namun ia tidak semudah yang disangka kerana banyak perkara perlu diambil kira termasuk mencari penaja, juri pertandingan, tempat dan juga peserta.

Sehubungan itu UniSZA juga akan terus memperkasakan bidang reka bentuk yang bersifat perabot dan seterusnya bergerak kepada reka bentuk dinamik seperti robotik telekomunikasi dan sebagainya.