Halaman

09 June 2013

Penjawat awam harus tingkatkan prestasi kerja

Oleh: Noraini Jusoh

Semua penjawat awam harus berazam dan beriltizam untuk meningkatkan prestasi kerja bagi memenuhi aspirasi dan hasrat negeri melahirkan modal insan yang seimbang tercapai.
Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, kualiti ialah satu nilai yang sentiasa berubah mengikut arus pergerakan masa.

"Usaha kita untuk meningkatkan kualiti dan kecemerlangan perkhidmatan sebagai penjawat awam hendaklah secara berterusan dan tidak terhenti apabila mencapainya.

"Selain memberi perkhidmatan yang berkualiti kita juga haruslah mempunyai kewibawaan dan nilai integriti yang tinggi dalam setiap urusan atau tugasan yang diamanahkan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Maidam Tahun 2013 di Pusat Pentadbiran Islam Negeri Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Dato’ Haji Mohd Rozali Saleh.

Katanya, budaya kerja kelas pertama perlu dilaksanakan oleh semua penjawat awam dan seharusnya tidak ada kompromi dalam soal integriti kerana perkara ini amat penting untuk dititikberatkan pada setiap peringkat dalam perkhidmatan kerajaan.

Tambah beliau, penjawat awam perlu mengamalkan Tonggak 12 yang menggariskan 12 nilai murni yang sememangnya dapat mengekang daripada melakukan sebarang penyelewengan dan perlanggaran peraturan seperti penyalahgunaan kuasa, ketidakcekapan, pembaziran dan amalan negatif lain yang boleh melemahkan dan memberikan imej negatif kepada perkhidmatan awam.

"Sebagai penjawat awam, marilah bersama-sama kita membentuk Perkhidmatan Awam Negeri yang cemerlang demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri yang kita cintai,” katanya.