Halaman

27 June 2013

Larian Perdana PMINT 2013, galak orang ramai sertai aktiviti kecergasan

Oleh: Noraini Jusoh

Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) menganjurkan Karnival PMINT 2013 bertempat di Dataran Taman Awam Batu Burok, Kuala Terengganu, bermula hari ini sehingga 29 Jun.

Pengurus Besarnya, Dato’ Haji Osman Muda berkata, selain memenuhi tanggungajwab sosial korporat kepada masyarakat, Karnival PMINT 2013 yang memasuki edisi kedua dianjurkan dipenuhi dengan pelbagai acara menarik di samping menggalakkan orang ramai menyertai aktiviti kecergasan.

"Pada karnival kali ini, Larian Perdana PMINT dengan jarak tidak melebihi 10 kilometer yang berkonsepkan `lari suka-suka’ akan melalui beberapa lokasi menarik di sekitar Bandaraya Kuala Terengganu dan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM40,000 kepada peserta.

"Lebih menarik, larian kali ini mendapat sambutan menggalakkan di mana kita hanya menyasarkan 4000 orang peserta tetapi penyertaan peserta larian telah melebihi sasaran,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Perasmian Karnival PMINT 2013 di Dataran Taman Awam, Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, selain aktiviti larian, sepanjang empat hari karnival berlangsung ia dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik seperti dikir barat, forum perdana, pameran dan sebagainya.

"Karnival ini juga menembatkan 70 unit kanopi untuk usahawan-usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang berminat mengadakan jualan dan promosi dalam tempoh berkenaan,” ujarnya.