Halaman

06 June 2013

Kerajaan negeri sambut baik langkah memperkasa pentadbiran Islam negeri

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri menyambut baik langkah memperkasa pentadbiran Islam negeri dan bersetuju dengan penstrukturan semula Institusi Pentadbiran Hal Ehwal Islam Negeri yang dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).
Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, setakat ini kerja-kerja penstrukturan semula Maidam telah mencapai tahap 75 peratus dengan pergabungan jabatan-jabatan berkaitan di bawah Maidam.

"Melalui penstrukturan ini, lapan jabatan bergabung di bawah pentadbiran Maidam iaitu Jabatan Baitulmal, Dakwah Pendidikan dan Pengurusan Masjid, Hal Ehwal Fatwa dan Adat Melayu, Pembangunan Keluarga dan Penguatkuasaan, Kehakiman Syariah, Undang-Undang dan Pendakwaan, Pengurusan Halal dan Teknikal,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Maidam Tahun 2013 di Pusat Pentadbiran Islam Negeri Terengganu, hari ini.

Katanya, secara kasarnya penstrukturan tersebut telah siap cuma menunggu pihak Maidam menyelesaikan secara menyeluruh berkaitan hal penempatan jabatan dan kakitangan yang ditugaskan di bawah jabatan-jabatan yang telah ditentukan.

"Kerajaan negeri menanti pihak Maidam menyelesaikan secara menyeluruh penstrukturan ini untuk di bawa ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi mendapatkan kelulusan dari segi penjawatan daripada kerajaan Persekutuan,” ujarnya.

Katanya, pergabungan tersebut diharap dapat melancarkan urusan pentadbiran hal ehwal Islam di negeri ini dan tidak berlaku percanggahan kerja antara jabatan di bawah Maidam.

Mengulas mengenai APC bagi meraikan kakitangan Maidam yang menunjukkan kesungguhan kerja yang tinggi sepanjang 2012, Dato’ Haji Mazlan berkata, anugerah tersebut perlu sebagai pembakar semangat kepada penerima anugerah dan seluruh warga Maidam untuk terus menonjolkan kecemerlangan pada masa akan datang.

"Perkhidmatan cemerlang perlu menjadi budaya kepada penjawat awam dan mereka yang telah diamanahkan oleh kerajaan dan rakyat ini perlu sentiasa ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam setiap tugasan yang dilakukan,” ujarnya.

Difahamkan, seramai 90 kakitangan Maidam yang terdiri daripada 50 lelaki dan 32 perempuan menerima wang tunai RM1000 dan sijil penghargaan pada majlis APC tersebut.