Halaman

23 June 2013

Kerajaan biayai RM12.4j untuk pelajar bidang perubatan

Menteri Besar dan isteri bersama penerima peruntukan Yayasan Terengganu untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.
Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri menyediakan peruntukan hampir RM12.4 juta kepada 231 pelajar anak negeri ini untuk mengikuti kursus perubatan di Rusia pada tahun ini.

Peruntukan yang disediakan menerusi Yayasan Terengganu (YT) bagi mengikuti tempoh pengajian selama enam tahun di beberapa universiti termasuk 'Volgograd State Medical University', 'Russian National Research Medical Univerisity' dan 'I.M Sechenov First Moscow State Medical University'.


Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri berharap pelajar terlibat memanfaatkan peluang dengan kemudahan pembiayaan itu dengan belajar lebih tekun dan memperoleh keputusan cemerlang sekali gus dapat menyumbang semula kepada negeri ini.

 "Kira-kira 70 peratus pelajar anak negeri ini yang mengikuti pengajian di Rusia dalam bidang perubatan ialah golongan perempuan dan saya harap apabila mereka tamat belajar nanti mereka dapat berkhidmat di mana-mana hospital dalam negara kita.

 "Ini kerana, menjadi hasrat kita mahu menyediakan hospital pertama yang menawarkan rawatan doktor wanita kepada pesakit wanita dan doktor lelaki untuk pesakit lelaki. Oleh itu, dengan program ini kita harap impian itu dapat dicapai tidak lama lagi," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Tawaran Biasiswa Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang Program Berkembar (United Kingdom) dan Kejuruteraan (Jerman) serta Penyampaian Wang Pendahuluan Kepada Pelajar Perubatan Tajaan YT Ke Rusia Sesi 2013/2014 di Hotel Primula Kuala Terengganu, semalam.


Turut hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib serta Pengarah YT, Encik Zakaria Yusof.

Di majlis itu, seramai 41 orang pelajar perubatan YT ke Rusia Sesi 2013/2014 menerima wang pendahuluan diri selama enam bulan sebanyak RM17,503 setiap seorang merangkumi elaun sara hidup, penempatan, buku, alat perkakas dan pakaian panas.

Turut dirai, seramai empat pelajar cemerlang yang menjadi penerima pertama kali Biasiswa Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin manakala lima pelajar menerima Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang Program Berkembar (United Kingdom) dan lapan pelajar lagi di bawah Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang Kejuruteraan Automatif (Jerman).

Dalam pada itu, Dato’ Seri Haji Ahmad turut mengingatkan kepada pelajar dari Terengganu yang melanjutkan pelajaran di luar negara di bawah tajaan kerajaan negeri supaya menghindari dari tidak terjebak dengan perkara-perkara yang boleh menjejaskan masa depan.