Halaman

09 June 2013

81 peniaga pasar lama Jertih berpindah ke Jertih Souq


Peniaga Pasar Baru Jertih kini berniaga lebih selesa

Oleh: Mohammad Ishak 

Seramai 81 peniaga barangan kering dan basah yang sebelum ini berniaga di Pasar Lama Jertih telah mula berpindah untuk menjalankan perniagaan mereka di bangunan baru di Jertih Souq di sini sejak beberapa hari lalu.

Yang Di Pertua Majlis daerah Besut, Ibrahim Mohamad berkata mereka yang diarah berpindah itu membabitkan peniaga ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan serta peniaga kuih-muih yang kesemuanya sudah memulakan perniagaan di bahagian bawah bangunan Jertih Souq di sini.

Katanya, pemindahan tersebut dilakukan memandangkan struktur pasar lama sementara yang mereka duduki untuk berniaga lebih 12 tahun lalu itu sudah tidak selamat lagi setelah ianya dibina ekoran kebakaran besar yang berlaku di situ sebelum itu.

Menurutnya, kini peniaga dapat menjalankan perniagaan mereka dengan lebih selesa lagi kerana ianya bukan saja lebih luas malah mempunyai kemudahan tempat letak kereta yang banyak bagi memudahkan pelanggan dan orang ramai membeli belah di situ.

“ Bangunan pasar sementara yang dikosongkan itu akan dirobohkan dan rancangan bagi membina pasar yang lebih moden sedang dirancang di situ”, katanya kepada media disini hari ini.

Menurutnya, pihaknya sedang melakukan kerja-kerja penambahbaikan bagi memastikan para peniaga dapat berniaga dengan lebih selesa dan dapat menambah pendapatan.