Halaman

13 May 2013

Tanpa PPD, masih ada kaedah lain salur bantuan

Dato' Seri Haji Ahmad Said memasukkan kad perakam waktu sebaik tiba di Tingkat 16, Wisma Darul Iman untuk memulakan tugas sebagai Menteri Besar. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.
Oleh: Suriati Ali 

 Kerajaan negeri tetap tidak akan menyalurkan peruntukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Ahli Parlimen di kawasan pembangkang biarpun mengetahui ada desakan berbuat demikian daripada pihak itu.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, tindakan itu dianggap rasional, kerana ketika pemerintahan pembangkang, perkara sama juga berlaku.


 “Sewaktu pemerintahan pas 1999 hingga 2004, ada atau tidak, mereka bagi peruntukan kepada wakil rakyat Barisan Nasional (BN). Negeri pembangkang sebelum pilihan raya lalu, seperti Kelantan, Kedah, Selangor, dan Pulau Pinang, peruntukan tetap tidak diagihkan.

 “Tidak logik pula apabila kita memerintah, peruntukan akan diagihkan kepada wakil rakyat Pas, jika diagihkan, boleh diumpamakan menghulurkan senjata untuk menikam kepimpinan BN,” katanya.


 Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetik perakam waktu sempena hari pertama bertugas, di Pejabat Menteri Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini. 

Hadir sama, Penasihat Undang-undang Negeri Terengganu, Dato' Noorbahri Baharuddin Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Abdul Razak Ismail dan Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pembangunan) Dato' Haji Mat Razali Kassim.


Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu langkah untuk tidak mewujudkan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (PPD) dan Pegawai Pembangunan Parlimen (PPP) masih di peringkat cadangan dan belum memuktamadkan keputusan itu.

 “Jika kerajaan tidak mahu mewujudkan jawatan itu, kita ada kaedah dan saluran lain yang diamanahkan untuk memikul tanggungjawab termasuk melalui agensi-agensi kerajaan seperti Pejabat Daerah dan Majlis Daerah dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

 “Apabila difikirkan balik, ia tidak adil bagi kerajaan, kita yang bersusah payah mewujudkan pembangunan, menjaga kebajikan dan merencanakan pendidikan, wakil rakyat Pas hanya makan gaji, sepatutnya mereka yang pikul tanggungjawab itu, sebab rakyat sudah memberi kepercayaan kepada mereka,” katanya.

 Menteri Besar juga yakin sekiranya PPD dan PPP diwujudkan di kawasan pembangkang, wakil rakyat di kawasan itu tidak akan berkhidmat untuk rakyat yang memilih mereka pada pilihan raya umum lalu.

“Rakyat boleh menilai sendiri prestasi wakil rakyat di kawasan mereka sepanjang empat hingga lima tahun akan datang, sebaliknya kerajaan negeri pula tidak akan mengabaikan rakyat dengan berterusan memberi perkhidmatan yang terbaik.” katanya.