Halaman

12 May 2013

Sertai koperasi untuk kepentingan masa depan

Oleh; Esah Abdullah

Seramai 2,000 ahli Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen (PVTTB) diminta menyertai koperasi yang diwujudkan khusus untuk kepentingan masa depan mereka.

Yang Dipertua PVTTB, Encik Alias Abdul Razak berkata, koperasi PVTTB akan digerakkan secara lebih aktif tahun ini dan berharap lebih ramai ahli menyertainya.

 “Daripada jumlah berkenaan hanya separuh yang menyertai koperasi dan berharap lebih ramai berbuat demikian,” katanya.

Katanya, perancangan hala tuju koperasi adalah untuk mencari aset kekal yang dapat memberi pulangan kepada ahli-ahli dalam tempoh jangka masa panjang.

 “Kita masih dalam peringkat perbincangan bentuk projek yang akan kita masuk nanti yang pasti memberi manfaat kepada ahli,” katanya.

Selain itu, pihak persatuan juga sedang mengesan pesara tentera yang uzur , mengidap penyakit kronik dan sebagainya untuk dibantu melalui dana kerajaan negeri.

Katanya, angka yang ada bukan jumlah sebenar kerana masih ramai pesara yang belum berdaftar sebagai ahli dan meminta rakan-rakan dan jiran berilah kerjasama mengesan atau memaklumkan kepada persatuan jika bertemu mereka.

 “Saya akui memang sukar mengesan di mana mereka berada tanpa kerjasama rakan-rakan seperjuangan serta orang ramai kerana ada yang telah bersara sejak 10 tahun lalu,” katanya.