Halaman

20 May 2013

Pusat Sukan Tumpuan Skuasy bantu kesinambungan bakat pelajar

Oleh: Noraini Jusoh

Langkah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menjadikan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sebagai Pusat Sukan Tumpuan Skuasy dilihat mampu menjadi platform dalam mencari pelapis sukan skuasy di kalangan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Ketua Penolong Setiausaha Sukan (Seksyen Pembangunan) KPT, Dr Ahmad Naim Ismail berkata, UMT dilantik menjadi Pusat Sukan Tumpuan Skuasy bagi memikul tanggungjawab memastikan pembangunan sukan skuasy di IPT termasuklah di politeknik dan kolej komuniti berjaya diadakan.

"Kita dapati dari segi pembangunan sukan skuasy di peringkat sekolah tidak ada masalah tetapi apabila memasuki universiti mula timbul masalah sebab tidak ada kesinambungan di situ.

"Justeru, bagi membantu pelajar mengembangkan bakat yang ada kita melantik UMT sebagai Pusat Sukan Tumpuan Skuasy,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kejohanan Sirkit Skuasy KPT@IPT 2013, di Dewan Senat UMT, baru-baru ini.

Katanya, harapan KPT agar pusat ini sinonim dengan skuasy dan pelajar UMT khususnya boleh bermain skuasy dan paling tidak mengetahui asasnya supaya pembudayaan sukan di kalangan pelajar itu ada.

Tambah beliau, penglibatan dalam aktiviti sukan juga boleh membantu pelajar dari aspek pembangunan sahsiah contohnya seperti keyakinan diri, bekerja secara berpasukan dan sebagainya.