Halaman

22 May 2013

KKLBW wujud ADS ganti ADC

Oleh; Esah Abdullah

Pertandingan Anugerah Desa Sejahtera (ADS) mula membuka tirainya tahun ini bagi mengantikan Anugerah Desa Cemerlang (ADC) yang telah diwujudkan sejak 23 tahun lalu (1989) dengan beberapa penambahabaikan dilakukan.

Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLBW), Dato’ Ibrahim Muhamad berkata, pengumuman pemenang kampung berjaya juga akan dibuat bersempena dengan sambutan hari kemerdekaan pada 31 Ogos nanti.

“Kita buat kajian semula terhadap kriteria yang dipertandingkan dengan memasukkan elemen patriotisma yang perlu ada dalam masyarakat,” katanya ketika berucap di Majlis Penghargaan Anugerah Desa Cemerlang Peringkat Kebangsaan di Dewan Serbaguna KKLBW semalam.

Hadir sama, Penolong Ketua Setiausaha KKLBW, Dato’ Norsiah Arshad beserta 700 orang pengerusi jawatankuasa induk dan petugas program manakala ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Wan selaku tuan rumah turut serta.

Majlis penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak bertempat di Kampung Bukit Wan Kuala Terengganu pada 1 Mei lalu.

Katanya, Terengganu dan Johor juga menjadi negeri terakhir yang menerima anugerah bagi ADC 2012 dan ia juga satu sejarah kerana tidak pernah berlaku ada dua pemenang diumum sebagai johan bersama.

“Selama 23 tahun anugerah itu diwujudkan kita berjaya melahirkan 180 kampung diseluruh negara yang berdaya maju serta berdaya saing.

“Matlamat kita mahu membangunkan masyarakat kampung melalui pelbagai perancangan untuk meningkatkan pendapatan isi rumah,” katanya.

Dato’ Ibrahim  melahirkan rasa terharu dan terima kasih di atas komitmen semua pihak yang menyokong melancarkan perjalanan majlis.

Beliau kemudiannya telah menyampaikan sijil penghargaan kepada jawatankuasa induk dan petugas Majlis ADC manakala Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail menerima sijil penghargaan bagi pihak tuan rumah.