Halaman

02 May 2013

Jentera Wanita tidak mengalah dengan cacian

Oleh; Esah Abdullah

Jentera Wanita tidak akan mengalah dengan pelbagai cacian dan fitnah yang dilemparkan pemimpin pembangkang kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ketua Wanita Barisan Nasional Terengganu, Datuk Hajah Fatimah Hamat berkata, Wanita sudah lali dengan segala cemuhan parti pembangkang dan tidak menghalang ia terus bertemu pengundi disetiap ceruk kampung.

“Kita akan perkemas jentera parti menjelang saat-saat akhir tempoh berkempen dan akan terus mengunjungi pengundi untuk meyakinkan mereka BN merupakan pilihan terbaik,” katanya kepada Teganukita.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Wanita Umno Perhubungan Terengganu juga mengarahkan jentera wanita di setiap kawasan Parlimen dan DUN mengadakan solat hajat memohon perlindungan Allah s.w.t agar proses pengundian 5 Mei ini berjalan lancar.

 “Setelah kita berusaha berbagai cara, akhirnya kita perlu kembali kepada NYA bagi memohon keberkatan dan perlindungan,” katanya.

Datuk Hajah Fatimah memberi jaminan pengundi wanita merupakan penyokong setia BN dan yakin mendapat kemenangan besar dalam PRU ini.

Beliau kemudiannya menyelar kempen parti pembangkang pada akhir-akhir ini yang semakin ganas seolah mahu mencetuskan keadaan yang tidak tenteram kalangan masyarakat.

 “Beberapa insiden letupan bilik gerakan BN yang berlaku mengambarkan pembangkang sudah hilang arah apabila melihat kebangkitan rakyat menyokong BN,” katanya.

Beliau menyeru semua rakyat jangan ragu-ragu lagi pilih BN parti yang mampu memberi kesejahteraan kepada rakyat dan keamanan kepada negara.