Halaman

03 May 2013

Lempar tohmahan akibat kemaruk kuasa

Oleh: Aida Abd Rahman

Tindak-tanduk Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim menggambarkan seorang yang kemaruk kuasa ekoran mendakwa beliau sudah menang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, berdasarkan maklumat yang diterimanya, Anwar telah mengadakan sidang akhbar yang memaklumkan kemenangannya itu tetapi pada masa sama, Ketua Pembangkang itu juga takut Barisan Nasional (BN) akan membawa pengundi dari tempat lain.

"Dia kata ada kapal terbang turun di Selangor (membawa pengundi hantu) dan menyorok di mana? Macam tak betul dah kepala dia, maaf saya cakap begitu," katanya ketika berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang dihadiri kira-kira 10,000 orang di Dungun, semalam.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri haji Ahmad Said; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Abdul Razak Ismail dan semua calon BN Parlimen dan DUN di Dungun.

 Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau juga dimaklumkan mengenai dakwaan pembangkang kononnya pesawat Malaysia Airlines System (MAS) dan AirAsia akan membawa 70,000 penduduk dari Sabah dan Sarawak untuk mengundi di Semenanjung.

"Ada juga kata, nak bawa pengundi dari Bangladesh, mana boleh mereka mengundi, mereka bukan warganegara kita," katanya.

Tan Sri Muhyiddin menegaskan, sebalik pelbagai tindakan dan spekulasi mengenai PRU13, beliau adalah orang yang paling layak untuk membuat analisis mengenai pilihan raya kali ini kerana bertindak sebagai Pengarah Pilihan Raya BN peringkat kebangsaan.

Beliau juga menaruh keyakinan BN akan kekal memerintah di Terengganu pada pilihan raya umum ini berdasarkan sambutan padu penduduk terhadap program BN dan Umno menjelang PRU13.

 “Gelombang Merah di sana (Kelantan), (Gelombang Biru di Terengganu) sudah mula menyerang masuk ke setiap rakyat Kelantan yang mahu berubah dalam pilihan raya supaya Barisan Nasional kembali semula memimpin Kelantan di peringkat negeri

“Kalau sudah Kelantan boleh menang, Terengganu apatah lagi. Boleh kita beri peluang supaya Terengganu boleh menang 100 peratus di semua kerusi ,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau juga meminta semua calon apabila menang nanti tidak lupa untuk terus menabur jasa dan khidmat kepada pengundi sebagaimana janji yang diuar-uarkan sepanjang kempen pilihan raya.