Halaman

23 May 2013

Angkat sumpah Adun, pelantikan Speaker 16 Jun

Oleh: Aida Abd Rahman

Majlis mengangkat sumpah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu dan pelantikan Speaker DUN akan diadakan di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, pada 16 Jun ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, perasmian penggal baru persidangan DUN ke-13 pula akan disempurnakan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada keesokannya, 17 Jun.

"Seterusnya, untuk sesi perbahasan pula akan berjalan sehingga 19 Jun berserta sesi penggulungan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Exco kerajaan negeri, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Dato’ Seri Haji Ahmad mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di hadapan Sultan Mizan di Istana Maziah, pada 11 Mei lalu selepas enam hari Barisan Nasional (BN) mengekalkan penguasaan majoriti mudah di Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Selain Menteri Besar, turut mengangkat sumpah jawatan dan menerima watikah pelantikan pada majlis itu ialah 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang menerima watikah pelantikan.