Halaman

02 April 2013

UMT sasar 200 penyelidik dapat manfaat GGP

Oleh: Suriati Ali 

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mensasarkan lebih 200 penyelidik pelbagai bidang mendapat manfaat melalui agihan Geran Galakan Penyelidikan (GGP) berjumlah RM835,800 pada tahun ini.

Naib Canselor UMT, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo berkata,melalui dana GGP yang diperkenalkan itu, penyelidik berkaitan termasuk ahli akademik yang baru menamatkan pengajian dijangka dapat menyiapkan 94 projek.

 Katanya, pada masa sama, mereka mampu membina kepakaran selaras dengan keperluan dan kehendak pembangunan di Terengganu serta penyelidikan dan inovasi UMT.

"Pada tahun ini sahaja, kita menerima kira-kira RM4.2 juta dana daripada pihak luar dengan melibatkan pelbagai penyelidikan di mana bidang-bidang kajian adalah tertumpu kepada kehendak penyumbang dana.

 "Bagaimanapun dengan suntikan dalaman GGP, penyelidik UMT diberi peluang membina kepakaran dalam bidang masing-masing di mana dapat mewujudkan penyelidikan yang berdaya saing serta penghasilan output secara konsisten dan berimpak tinggi yang bakal menjadi bahan rujukan kepada pelajar-pelajar di universiti itu," katanya.

 Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Majlis Perlancaran GGP di Dewan Auditorium UMT, Kuala Terengganu, hari ini.

 Hadir sama, Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi) UMT, Dr. Affandi Abdul Rahim. Dato’ Dr. Ibrahim turut memberitahu menerusi penghasilan kepelbagaian penyelidikan yang dijalankan bakal memberi manfaat kepada universiti itu khususnya dan pensyarah amnya.

 “Penyelidikan yang berimpak tinggi mampu memberi nilai tambah kepada UMT terutamanya melibatkan bidang tujahan universiti berkenaan apabila ia bakal menjadi bahan rujukan ketika sesi pembelajaran pelajar-pelajar.

 "Melalui penyelidikan itu membolehkan journal diterbitkan di mana ilmu yang dikaji itu akan berpindah dan dapat dikongsikan bersama penyelidik luar negeri dan negara seterusya boleh disebarluas kepada masyarakat setempat.

 "Apabila ini berlaku, ia sekali gus memberi imej baik kepada UMT di mata dunia manakala untuk jangka masa panjang pula hasil penyelidikan dapat dikongsikan ersama industri untuk diprodukkan dan dikomersialkan," katanya.