Halaman

08 April 2013

Tuan Sharif bukukan masakan tradisional Terengganu sempena TMT 2013

Oleh: Noraini Jusoh

Sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 seorang penulis yang pernah bergiat aktif dalam bidang penulisan suatu ketika dahulu, Tuan Sharif Tuan Putera telah menghasilkan sebuah buku Resepi Makanan Tradisional Terengganu setebal 92 muka surat yang memuatkan 47 resepi masakan tradisional negeri ini.

Tuan Sharif berkata, idea untuk menghasilkan buku tersebut tercetus semasa beliau memikirkan untuk menyumbang sesuatu apabila kerajaan Terengganu merancang mengadakan TMT 2013 pada tahun lepas.

"Saya buat buku ini sempena TMT 2013 dan lebih mengembirakan saya apabila kerajaan negeri turut menempah sebanyak 1,000 naskhah buku yang mengandungi pelbagai resepi kuih-muih dan lauk-pauk tradisional Terengganu untuk diedar ke hotel selain dihadiah kepada tetamu atau pelancong,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis pelancaran buku berkenaan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said sempena Festival Pelancongan dan Keusahawanan Kuala Nerus 2013 di Pantai Mengabang Telipot, baru-baru ini.

Tuan Sharif, seorang pesara guru dan pernah berkhidmat sabagai pensyarah sambilan berkata, buku resepi itu kini turut berada di beberapa perpustakaan awam termasuk di Selangor dan Terengganu.

"Bagi merealisasikan penghasilan buku ini, isteri saya, Syarifah Esah Syed Abdul Rahman banyak membantu.

"Resepi kuih-muih yang dimuatkan dalam buku ini ada yang isteri saya buat sendiri dan gambar-gambar tersebut juga saya ambil sendiri selepas beliau siap memasak sesuatu hidangan,” ujarnya yang terkenal sebagai penulis skrip drama radio dan televisyen pada era 1970-an dan 1980-an.

Katanya, selain tempahan daripada kerajaan negeri buku yang dicetak pertama kali sebanyak 1500 naskhah turut dijual dengan harga RM24.90 senaskhah di pasaran.