Halaman

09 April 2013

Terengganu agih RM7.5 juta kepada mangsa banjir

Oleh: Kamarudin Mat Akib 



Kerajaan Terengganu membelanjakan kira-kira RM7.5 juta bagi memberi bantuan sagu hati kepada semua mangsa banjir di seluruh negeri ini,

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata semua mangsa banjir di negeri ini diberi sagu hati RM500 bagi setiap keluarga bagi meringankan bebanan mereka.

Sebelum ini, setiap keluarga sudah diberikan wang tunai RM500 sumbangan daripada Kerajaan Pusat dan diagihkan kepada semua mangsa banjir selepas musim bah baru-baru ini.

Ini bermakna setiap keluarga yang terlibat dengan banjir di negeri ini menerima wang sagu hati berjumlah RM1,000.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, kira=kira 15,000 keluarga di seluruh negeri ini terlibat dengan banjir dengan daerah Kemaman menjadi bilangan mangsa banjir yang paling ramai.

“Sehingga ini kita sudah beri wang sagu hati kepada hampir semua mangsa banjir. Hanya sebilangan kecil mangsa banjir di daerah Kemaman saja yang belum terima bantuan,” katanya.



 Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampanian Bantuan Kepada Mangsa Banjir Daerah Kemaman (Fasa 1 & 2 DUN Kijal) di Dewan Dato’ Seri Amar, Cukai, petang ini.

 Hadir sama isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud dan Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek.

Menteri Besar berkata, mangsa banjir yang belum menerima bantuan itu akan mendapat habuan mereka dalam tempoh terdekat ini.