Halaman

10 April 2013

Sokong kerajaan untuk memperkasa bidang pendidikan

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan untuk pendidikan melebihi perbelanjaan mengurus sebuah negeri di utara tanah air.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata, komitmen besar itu adalah untuk melihat kebangkitan anak tempatan dalam bidang pelajaran.

“Kerajaan membelanjakan RM300 juta setahun khusus untuk memperkasakan bidang pendidikan anak-anak negeri ini bagi menjamin masa depan yang lebih gemilang,” katanya dalam majlis Kecemerlangan Pendidikan di Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, Kuala Terengganu.

Katanya, jumlah berkenaan melebih perbelanjaan mengurus negeri Perlis (RM150 juta) dan ini membuktikan kesungguhan kerajaan untuk memberi tambah nilai kepada generasi pewaris mencipta kegemilangan dalam bidang akademik.

Menurutnya, hasil pelaburan besar kerajaan itu, senario pendidikan hari ini mula berubah dan Terengganu berada dalam senarai teratas pendidikan negara.

“Saya harap kerjasama yang terbina antara guru, ibu bapa dan kerajaan memerintah terus disemarakkan agar kesinambungan usaha itu dapat mencipta kejayaan lebih manis pada masa hadapan “ katanya,

Dalam pada itu, semua ibu bapa, pelajar dan guru terus berharap agar usaha memertabatkan bidang pendidikan ini tidak terhenti separuh jalan.

“Perkara sebegini tidak mustahil berlaku jika kita silap membuat pilihan dan terpengaruh dengan janji pembangkang yang belum tentu baik untuk masa depan anak-anak kita,” katanya.

Katanya, sokongan dan dokongan kepada kerajaan memerintah diperlukan bagi meneruskan agenda pendidikan negeri dapat diteruskan hingga mencapai negara maju pada 2020.