Halaman

18 April 2013

Rakyat perlu ingat zaman hitam Pas

Oleh: Gelombang biru

 Rakyat digesa agar mengingati dan menilai semula kerenah yang dilakukan oleh pemimpin Pas ketika parti itu memerintah Terengganu selama satu penggal antara tahun 1999 hingga 2004.

 Ketua Umno Bahagian Besut yang juga Calon BN Parlimen Besut, Dato’ Seri Haji Idris Jusoh berkata, perkara itu dibangkitkan semata-mata untuk mengingatkan semula rakyat parti manakah yang benar-benar menjaga dan mengutamakan rakyat.

 Katanya, ketika itu, walaupun kalah dan gagal memerintah negeri, pemimpin Umno tetap meneruskan kerja mereka sebagaimana sebelumnya tetapi sebaliknya berlaku kepada pemimpin Pas.

"Pemimpin UMNO tetap menjenguk dan menjaga rakyat meskipun kalah tetapi lihatlah pemimpin Pas, mereka menghilangkan diri dan hanya muncul semula menemui rakyat menjelang pilihan raya umum tidak lama lagi.

 "Jangan mudah tertipu dengan pemimpin pembangkang yang kini giat masuk kampung dan menabur pelbagai janji jika menang pilihan raya umum kali ini," katanya

 Beliau yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) berkata, perbezaan itulah yang perlu dinilai oleh rakyat dalam memilih parti yang mampu menjaga mereka sama ada susah atau senang dan bukannya memilih waktu.

 Katanya, kini banyak janji ditabur oleh pemimpin Pas tetapi rakyat perlu berani bertanya sama ada janji-janji yang pernah mereka buat jika menang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) lalu sudah ditunaikan atau sebaliknya.

"Rakyat juga perlu bertanya di manakah pemimpin Pas berada dan mengapa mereka tidak mengambil tahu penyokong dan pengikut mereka yang menghadapi masalah setelah kalah pada pilihan raya umum lalu.

 "Berbeza dengan pemimpin Umno walaupun kalah, boleh ditemui pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Mereka bersedia membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat tanpa mengira fahaman politik," ujarnya.

Sehubungan itu, Idris berharap apa yang berlaku selama tempoh Pas memerintah Terengganu itu dijadikan iktibar dan peringatan supaya tidak berulang lagi kerana banyak mendatangkan kesusahan kepada banyak pihak.