Halaman

12 April 2013

Presiden Pas bersandiwara lagi

Oleh: Cicit Laksamana 

Jelas dan nyata sekali, Presiden Pas Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, bersandiwara lagi apabila beliau sendiri mengesahkan akan mempertahankan kerusi Parlimen Marang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Sebelum ini, beliau mengumumkan kemungkinan besar tidak akan mempertahankan kerusi tersebut dan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, pada pilihan raya kali ini.

Masih segar lagi di ingatan rakyat Terengganu, Abdul Hadi mengumumkan bahawa beliau kemungkinan tidak akan bertanding di kerusi Parlimen dan DUN jika begitu kehendak parti.

Pemerhati politik lantas membuat andaian bahawa itu taktik beliau yang mahu menguji sokongan penyokong Pas terhadapnya setelah populariti parti itu merudum berikutan beberapa isu yang melibatkan hubungannya dengan DAP.

Tidak kurang juga yang berpendapat pengumuman itu hanya sekadar taktik Presiden Pas itu bagi meraih simpati pengundi, khususnya di kalangan penyokong dan pengikut Pas.

Nampaknya Abdul Hadi mengikut jejak langkah beberapa pemimpin Pas sebelum ini yang pernah menggunakan taktik serupa dengan menyatakan keazaman mereka untuk berundur sebelum pilihan raya, tetapi bila sampai masanya, mereka membuat pusingan-U dengan mengubah pendirian kononnya parti masih memerlukan khidmat mereka.

Selain pengumuman untuk mempertahankan kerusi Parlimen Marang, Abdul Hadi turut memaklumkan Pengerusi Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad akan bertanding atas tiket Pas di kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Pada masa yang sama, beliau turut mengesahkan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu yang bertanding di Parlimen berkenaan pada PRU12, diletakkan sebagai calon di kerusi Parlimen Pendang.

Kali ini kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang menyaksikan Mat Sabu tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya 2008, bakal ditandingi anak tempatan.

Pengumuman tersebut dibuat selepas mesyuarat kepimpinan Pas Pusat hampir lima jam di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

 Nampaknya, Mat Sabu terpaksa ‘balik kampung’ pada PRU13 setelah beliau ditolak oleh pengundi Terengganu pada tahun 2008.

Berdasarkan sokongan semasa rakyat negeri ini terhadap BN, calon baru Pas di Kuala Terengganu akan menimpa nasib yang sama seperti Mat Sabu pada PRU13.

 Dan tidak mustahil jika Abdul Hadi sendiri akan ‘tersungkur’ pada pilihan raya ini seperti yang pernah dialaminya pada Pilihan Raya Umum pada tahun 1986 dan 2004.