Halaman

28 April 2013

PR semakin bercelaru

Oleh: Suriati Ali 

Situasi bercelaru melanda Pakatan Rakyat (PR), termasuk berkaitan isu penjualan pil kuda dilihat memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) bagi mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Ketua Penerangan Umno Terengganu, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, berkata sikap tidak boleh bermuafakat dalam membuat sebarang keputusan, selain wujudnya kes dalaman jelas memberi petunjuk PR kini tidak `sebulu’ dan jauh berbeza apa yang dijanjikan sebelum ini.

"Begitu juga dengan tindakan Presiden Pas, Dato’ Seri Haji Hadi Awang yang membuat tuduhan mengenai ada calon daripada parti pembangkang terlibat dengan kerja haram termasuk menjual pil kuda dan bersefahaman dengan komunis akhirnya membuka pekung sendiri,” katanya.

Menurutnya, kenyataan tidak berfakta pemimpin utama Pas itu dilihat menjerut diri sendiri, selain mencerminkan tiada nilai kesepakatan seperti yang dihebohkan sebelum ini.

"Jika kita lihat daripada kenyataan yang dikeluarkan beliau (Haji Hadi) ia ditujukan kepada tiga calon PKR yang menarik diri daripada bertanding di negeri ini, ia melibatkan soal maruah.

"Tetapi dalam isu penyebaran video lucah yang dikatakan mirip seseorang pemimpin kuat Pas, itu dikatakan konspirasi dan fitnah yang sengaja diwujudkan Umno, apabila kes sama berlaku di kalangan Umno, menegaskan ia benar,” katanya.

"Ia jelas menunjukkan sikap `double standard’ yang diwujudkan Haji Hadi terhadap individu yang bukan berpihak padanya," katanya ketika mengulas mengenai tindakan calon PKR, dipercayai Ahmad Nazri Mohd membuat laopran polis berhubung satu blog yang memfitnahnya menjual pil kuda.

Sambil menyifatkan tindakan calon PKR itu sebagai langkah wajar, pada masa sama, Haji Hadi dituntut supaya bertanggungjawab dengan tuduhan tidak berfakta yang dibuat terhadap calon daripada sekutunya sendiri.