Halaman

28 April 2013

Pilih pemimpin pandai, elok

Oleh: Kamarudin Mat Akib

“Kalau memilih tempat mandi, pertama pantai kedua teluk. Kalau memilih pemimpin negeri, pertama pandai, kedua elok,” begitu dalam maksud pesanan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Dato’ Haji Ibrahim Abdul Rahman kepada seluruh rakyat Terengganu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Beliau berkata, barisan kepimpinan kerajaan yang ada sekarang ini amat baik dan mampu memberi perkhidmatan cemerlang kepada rakyat di negara dan negeri ini.

 Justeru itu, katanya, rakyat negeri ini perlu memberi peluang kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk meneruskan pemerintahan berasaskan rekod cemerlang parti pemerintah yang bermula sejak negara mencapai kemerdekaan.

“Kita mahu negara kita terus berada dalam keadaan aman dan rakyat bebas melakukan sebarang kegiatan yang tidak menyalahi undang-undang,” katanya ketika berucap merasmikan Program Kenali Jiran Kita & Jamuan Rakyat di Dewan Sivik Kampung Pak Wong, Setiu, semalam.

Hadir sama Pengarah Jabatan Penerangan Negeri, Puan Azizah Awang dan calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi, Mohd Iskandar Jaafar.

Dato’ Haji Ibrahim berkata, berdasarkan pengalaman beliau semasa berada di Lahad Datu Sabah, sewaktu insiden pencerobohan pengganas di kawasan tersebut, ia merupakan mala petaka yang patut dielak oleh setiap rakyat di negara ini.

 “Saya saksikan sendiri bagaimana susahnya kehidupan penduduk di kawasan yang telah dicerobohi oleh pengganas. Isteri yang baru satu jam bersalin terpaksa berlari sejauh satu kilometer untuk berlindung dari serangan pengganas,” katanya.

Beliau berkata, tentunya masyarakat negara ini tidak mahu peristiwa seumpama itu berlaku di tempat mereka kerana ia akan menyusahkan semua pihak. Katanya, peristiwa seperti di Lahad Datu tidak mustahil berlaku di kawasan lain jika keadaan politik tidak stabil seandainya pemerintahan negara ini jatuh ke tangan pembangkang pada PRU13.

 “Oleh itu, kita perlu bersepakat menjaga keamanan di negara kita, mengambil berat kebajikan jiran tetangga dan jangan melakukan perkara-perkara yang boleh melemahkan kerajaan semasa,” ujar beliau.