Halaman

15 April 2013

Pertahan BN terajui negara

Oleh; Esah Abdullah

Barisan Nasional (BN) mesti diberi peluang untuk terus menerajui negara ini agar kestabilan dan kesejahteraan dapat dinikmati hingga ke generasi akan datang.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang berkata, semua rakyat yang sayangkan negara perlu bersama pertahankan keharmonian dan keamanan yang ada agar tidak jatuh ke tangan orang yang mempunyai kepentingan peribadi.
“Kita sudah nampak cubaan pihak yang berkepentingan menimbulkan kekeliruan dan huru hara dalam negara dan mesej ini jelas agenda mereka yang sebenar,” katanya.

Beliau yakin dengan kekuatan jentera BN termasuk sayap parti Wanita, Pemuda dan Puteri yang merupakan penyumbang terbesar kepada kemenangan BN dalam setiap pilihanraya yang diadakan.

 “Kita yakin dengan kerja keras jentera ‘semut merah’ (jolokan yang diberikan oleh Menteri Besar kepada wanita) ini mampu menjalankan tanggungjawabnya dengan cemerlang pada pilihanraya umum akan datang,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu itu berharap semua perlu akur dengan keputusan presiden parti mengenai calon dalam pilihan raya umum nanti yang tentunya pilihan terbaik untuk menerajui parti dalam tempoh lima tahun akan datang.