Halaman

09 April 2013

Pelajar IPT dilarang bawa lambang parti masuk kampus

Oleh; Esah Abdullah

Pelajar yang berada di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negara ini tidak dibenarkan sama sekali untuk membawa apa-apa lambang parti memasuki kawasan kampus.


Pengarah Bahagian Pembangunan dan Keusahawanan Pelajar, Jabatan Pengajian Politeknik (JPP) Encik Wan Zulkifly Wan Zakaria berkata, walau pun dalam pindaan baru membenarkan pelajar di IPT terlibat dalam politik tetapi tidak didalam kampus.

“Di luar kampus mereka dibenarkan untuk melibatkan diri dengan kegiatan politik dan berharap peluang yang terbuka mampu dimanfaat dengan sebaik mungkin,” katanya kepada pemberita di Karnival Debat Perdana dan Pidato Politeknik, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di Hotel Permai, Kuala Terengganu petang semalam.

Hadir sama, Pengarah Politeknik Kuala Terengganu, Puan Hajah Radiah Che Su dan Ketua jabatan Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar, Encik Zulkefli Menong serta Pengarah dan peserta dari 24 buah Politeknik seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak yang menyertai karnival selama empat hari berakhir semalam.

Katanya, dengan kebebasan yang diberi sebenarnya merupakan jalan terbaik untuk pelajar menimba pengalaman serta menjadi orang yang lebih terbuka mindanya.

“Kita yakin dengan keterbukaan kerajaan hari ini mampu mengembangkan bakat-bakat pelajar-pelajar di IPT menjadi seorang pemidato yang hebat bakal mengantikan tokoh-tokoh politik yang ada sekarang,” katanya.

Pada majlis itu, Siti Solehah Hasan dari Politeknik Mukah Sarawak muncul pemidato terbaik manakala johan debat dimenangi Politeknik Mukah Sarawak dan naib johan dimenangi Poiteknik Sandakan Sabah.   Rohani Suardi dari Politeknik Premier Engku Omar pula menjadi johan dalam pertandingan pidato.