Halaman

03 April 2013

Melayu harus bersatu demi kemajuan

Oleh: Noraini Jusoh

Melihat senario yang berlaku di kalangan parti pembangkang mutakhir ini sudah cukup untuk orang Melayu meletakkan kesedaran dan keinsafan bagi menyokong Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Umno yang terbukti banyak membawa kemajuan negara sejak lebih setengah abad lalu.

Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Dr. Rahim Tamby Chik berkata, apa yang berlaku di kalangan pemimpin pembangkang adalah satu eksperimen yang luar biasa dan perlu diambil iktibar oleh orang Melayu.

"Orang Melayu perlu bersatu semula dan mempunyai kesedaran tinggi bahawa perpecahan tidak akan membawa kita ke mana-mana.

"Lagi banyak berlaku perpecahan lagi sukar untuk bangsa Melayu maju,” ujarnya mengulas fitnah terbaru pihak pembangkang terhadap Umno berkaitan isu yang dikeluarkan seorang pemimpin Pemuda Pas pada sidang media selepas merasmikan Program Generasi 1M Sahabat Usahawan Terengganu (Gen-1M SUT) di Dewan Perpustakaan Awam Marang, semalam.

Jelas beliau yang juga merupakan Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) Malaysia, orang Melayu perlu mempunyai kekuatan dari segi mental dan spiritual untuk membuat perubahan demi kemajuan lebih besar di kalangan bangsa Melayu.

Katanya, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengeluarkan pelbagai isu untuk memecahkan perpaduan orang Melayu kerana tidak dapat menerima hakikat kerajaan BN dan Umno sebagai peneraju negara ini.

"Pembangkang terlalu ego dengan menggunakan perkataan kesat, lucah dan sebagainya kerana mereka amat terdesak apabila kerajaan menjawab segala tindakan fitnah mereka dengan lebih banyak menolong rakyat,” katanya.

Katanya, sudah tiba masanya orang Melayu yang masih terlena bangkit dan ketepikan perpecahan yang cuba dilakukan oleh parti pembangkang dan menyokong pimpinan Perdana Menteri yang melaksanakan pelbagai trasformasi untuk mencapai Wawasan 2020.

Katanya, beliau kecewa dengan sikap pembangkang yang melemparkan pelbagai tuduhan terhadap kerajaan sedangkan apa yang kerajaan BN dan Umno cakap adalah berdasarkan fakta bukan auta.

"Apa yang Pas dan PKR buat? ... selain tuduhan yang tidak berasas kepada kerajaan BN dan Umno,” katanya.

Tambah beliau, apa yang berlaku merupakan petanda-petanda malang kepada pembangkang dan satu kebangkitan perpaduan baru kepada orang Melayu dan beliau percaya selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti kerajaan BN dan Umno akan terus menerajui negara ini.