Halaman

19 April 2013

MB ketuai perarakan penamaan calon Parlimen Kemaman

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, akan mengetuai perarakan ke pusat penamaan calon bagi Parlimen Kemaman di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), esok.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu itu akan menyerahkan borang pencalonannya untuk bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) di mana beliau merupakan penyandang kerusi tersebut.

BN mengekalkan penyandang kerusi DUN Kemasik (Ir Rosli Othman) dan Air Puteh (Haji Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar) untuk bertanding di kerusi tersebut manakala Setiausaha Politik Menteri Besar, Dato’ Wan Ahmad Nizam Abdul Hamid dicalonkan di DUN Cukai.

Menteri Belia dan Sukan, dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek dinamakan sebagai calon Parlimen Kemaman (penyandang kerusi berkenaan). Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuka lapan Pusat Penamaan Calon di Terengganu pada hari penamaan calon pilihan raya ini.

Pusat berkenaan ialah Pejabat Daerah Besut bagi Parlimen Besut; Pejabat Daerah Setiu (Setiu); Majlis Sukan Negeri Terengganu (Kuala Nerus); Pejabat Daerah Marang (Marang) dan Pejabat Daerah Hulu Terengganu (Hulu Terengganu).

Pusat lain ialah Pejabat Daerah Dungun bagi Parlimen Dungun, Stadium Negeri Kuala Terengganu (Kuala Terengganu) dan Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman (Kemaman).

Pada hari pernamaan calon, setiap bakal calon perlu menyerahkan kertas penamaan calon mereka kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya mulai jam 9 pagi hingga 10 pagi.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya akan menyemak setiap kertas penamaan yang diterima dan akan mengisytiharkan calon-calon yang layak bertanding sebaik sahaja semua urusan selesai.