Halaman

16 April 2013

Manifesto penuhi aspirasi, kepentingan anak muda Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Tawaran dalam Aku Janji Barisan Nasional (BN) Terengganu `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ begitu jelas, nyata dan realistik khususnya dalam konteks memenuhi aspirasi dan kepentingan anak muda di seluruh Terengganu.

Ketua Pemuda Umno Kuala Terengganu, Encik Badrul Hisham Zaki, berkata sebahagian besar dari 18 aku janji atau manifesto tambahan itu memberi banyak manfaat kepada golongan muda khususnya tawaran pembinaan 10,000 rumah mampu milik, kompleks litar bertaraf antarabangsa, 10,000 peluang pekerjaaan dan pembinaan gelanggang futsal.

“Bukan itu sahaja, BN juga menawarkan untuk menyediakan dana pengurusan kepada pertubuhan belia dan juga Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) serta menjadikan sukan sebagai satu kerjaya di Terengganu ini yang terbukti sudah melahirkan ramai jaguh dalam bidang itu.

 “Inilah satu manifesto yang amat dinanti oleh anak muda selama ini. Jelas nyata dan realistik kerana Kerajaan BN mempunyai rekod yang baik menyelesaikan tawaran serta janji kepada rakyatnya,” katanya kepada Teganukita, malam tadi.

Encik Badrul berkata, rumah yang menjadi keperluan penting untuk rakyat terutama kepada golongan muda suatu tawaran yang seharusnya membuka mata ramai bahawa BN parti yang realistik mengotakan janji yang diuar-uarkan berdasarkan prestasi pembangunan sektor perumahan di Terengganu sebelum ini.

Beliau berkata, pembinaan litar bukan sahaja mengekang masalah merempit yang berleluasa di jalan raya sekitar Kuala Terengganu (melibatkan Parlimen Kuala Terengganu,Marang dan Kuala Nerus), malah membentuk remaja dalam aktiviti riadah yang lebih sihat pada hujung minggu.

“Manifesto tambahan ini berupaya memberi satu momentum yang bakal menarik majoriti orang muda untuk bersama-sama golongan pertengahan dan warga emas untuk sama-sama menyokong BN dan menzahirkan sokongan itu pada tanggal 5 Mei (pembuangan undi) nanti,” katanya.

Terdahulu, BN Terengganu melancarkan Aku Janji BN Terengganu mengandungi 18 perkara yang bakal dilaksanakan di Terengganu jika mendapat mandat rakyat untuk terus memerintah negeri ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Manifesto Tambahan BN Terengganu itu diumumkan Pengerusi BN Negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dengan disaksikan ketua-ketua dan pemimpin-pemimpin parti komponen BN Terengganu di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, malam tadi

Antara janji BN yang terkandung dalam manifesto berkenaan ialah membina 10,000 unit rumah mampu milik, peluang rakyat memiliki 1 tapak rumah atau 1 tapak pertanian dan pajakan tanah individu dinaikkan dari 30 tahun kepada 60 tahun.

BN juga berjanji akan menyediakan insentif khas untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang kritikal dan memperkasakan program e-Book.

Selain itu, BN juga akan membina tiga lagi Sekolah Imtiaz iaitu di Setiu, Marang dan Kuala Nerus bagi menjadikan satu daerah satu Imtiaz. Pada masa yang sama, BN akan memperkenalkan Khairat dan Insurans Takaful Rakyat serta memperluaskan perkhidmatan pusat hemodialisis.