Halaman

22 April 2013

Kontraktor diminta sumpah laknat sebelum dapat projek

Oleh: Suriati Ali 

Kerajaan negeri bercadang untuk mengenakan syarat akuan bersumpah laknat mengikut hukum Islam kepada semua pemilik syarikat kontraktor di negeri ini sebelum meluluskan sesuatu tender atau projek kerajaan.



 Langkah itu wajar dikuatkuasa bagi mengelak sebarang musibah, selain mahu membuktikan segala projek yang diluluskan itu telus dan bebas daripada gejala rasuah.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, pihak cadangan itu akan dilaksanakan sekiranya rakyat memberi mandat kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk terus memerintah Terengganu selepas Pilihan Raya Umum Ke -13 (PRU13) .

 “Pendekatan ini cukup penting kepada kita kerana pembangkang sering gemar melemparkan tuduhan melulu tanpa menunjukkan bukti sahih, selain gemar menjadikan isu rasuah sebagai bahan berkempen.

“Apa yang dikesalkan, saya juga turut dikatakan terlibat dalam rasuah berkaitan `skandal’ pengagihan balak, fitnah itu jelas tidak benar dan saya berani bersumpah pada majlis ini dengan lafaz, Wallahi, Wabillahi dan Watallahi,” katanya.



Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Ikrar Integriti Korporat Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dengan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Haji Mazlan Ngah; Pengurus Besar PMINT, Dato’ Osman Muda dan beberapa pegawai kanan kerajaan negeri. Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu segala fitnah yang dilemparkan itu sudah diserahkan kepada pihak berkuasa dan SPRM, biar mereka siasat sama ada beliau bersalah atau tidak.

“Pembangkang hanya pandai membuat tuduhan dan mengadakan demonstrasi bagi menarik perhatian, mengapa tidak laporkan kepada pihak yang berkuasa, biar mereka siasat.

 “Jika terbukti salah, saya rela dikenakan tindakan tatatertib atau sebarang hukuman, tetapi sehingga tiada lagi sebarang tangkapan,” katanya.