Halaman

19 April 2013

Kerajaan negeri anjur pertandingan gamelan Melayu

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Terengganu akan menganjurkan Pertandingan Gamelan Melayu Peringkat Kebangsaan 2013 di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu selama dua hari bermula 20 April ini.

Objektif utama pertandingan tersebut adalah sebagai satu wadah untuk memartabatkan seni gamelan Melayu ke peringkat yang lebih tinggi.

Sebanyak dua segmen utama dipertandingkan iaitu Gamelan Melayu Tradisional dan Gamelan Melayu Kreatif dimana setiap kumpulan yang bertanding diwajibkan membuat persembahan bagi kedua-dua segmen tersebut.

Selain itu, pertandingan tersebut juga mewujudkan peluang kepada pencipta, penggubah muzik serta pencinta gamelan Melayu menonjolkan hasil ciptaan dan gubahan lagu-lagu tradisional mereka untuk disebarkan kepada orang ramai.

Hadiah wang tunai RM10,000 untuk juara, naib juara (RM8,000), ketiga (RM5,000) dan RM3,000 untuk persembahan terbaik kumpulan menanti pemenang pada pertandingan tersebut.

Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Haji Mazlan Ngah dijangka bakal menyempurnakan majlis perasmian penutup serta penyampaian hadiah pertandingan itu nanti.

 Dianggarkan lebih daripada 300 orang pengamelan akan terlibat dalam pertandingan berkenaan.