Halaman

24 April 2013

Kem Si Penyu UMT

Oleh: Aida Abd Rahman

Unit penyelidikan Penyu (SEATRU), Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan mengadakan program kesedaran penyu khas kepada 39 pelajar Tahun Lima Sekolah Kebangsaan Pulau Redang bermula esok.



Program dua hari merangkumi dua siri pada 25 hingga 26 April dan 3 hingga 4 mei ini merupakan aktiviti tahunan di Santuari Penyu Chagar Hutang, Pulau Redang yang dilaksanakan sejak 1996.

Menurut Pejabat Komunikasi Korporat UMT, peserta yang mengikuti kem berkenaan akan dibimbing fasilitator yang terdiri daripada 12 pelajar MMB4300 (Biodiversiti dan Pemuliharaan Marin) dengan dibantu lapan sukarelawan penyu.

“Selain memupuk rasa saying dan cinta kepada penyu, program ini jug secara tidak langsung akan memberi pendedahan serta latihan kepada pelajar MMB4300 dalam pengendalian sesuatu program outreach.

“Objektif kem bagi memupuk kesedaran di kalangan orang awam terutama pelajar sekolah rendah mengenai kepentingan penyu dan usaha pemuliharaan yang dilakukan untuk melindungi haiwan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar kepada media, semalam.

Menurutnya, kesedaran yang diperolehi pelajar dari kem itu akan ditrjemahkan kepada semangat cintakan alam semula jadi dan azam untuk membantu memulihara penyu.

Katanya, pemilihan pelajar sekolah rendah sebagai golongan sasaran untuk kem ini adalah wajar berikutan golongan muda bakal menjadi pelapis pemimpin masa hadapan dan bertanggungjawab memulihara alam sekitar.

“Pelbagai aktiviti menarik dan interaktif akan dilaksanakan semasa kem itu antara aktiviti itu ialah menganalisa sarang penyu, melihat penyu bertelur, membuat sarang penyu dan aktiviti kesedaran untuk pemuliharaan penyu.

 “Selain itu, peserta juga akan dikehendaki untuk menandatangani aku janji untuk memakan telur penyu,” katanya.