Halaman

13 April 2013

Jangan silap pilih pemandu : MB

Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengingatkan penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir agar menggunakan khidmat `pemandu’ yang bertauliah dan berdisiplin bagi membawa kenderaan yang sudah serba baik disediakan kepada mereka bagi mengelak terbabas.



Dato’ Seri Haji Ahmad Said menggunakan perumpamaan itu ketika berucap di hadapan kia-kira 2,000 penduduk DUN Manir sempena Program Sepakat Komuniti 1Malaysia di Padang Perumahan Awam Kos Rendah Batu Hampar, Manir, Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Norliza Mahmud; Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Dato’ Ibrahim Abdul Rahman; Pengarah Penerangan negeri, Puan Azizah Awang dan Pegawai Pembangunan DUN, Encik Yusof Awang Hitam.

“Kereta kita molek dah, pemandu kita molek dah, tayar molek dan baru, semua molek belaka dah. Kita ada arah tuju kita supaya tidak tersasar dan membuktikan kita mampu hidup bersatu-padu dan terus maju.

“Pemandu kita sudah baik, jangan cari pemandu tua dan berkain pelikat, jika tersilap langkah ketika memandu boleh terbabas dan kemalangan pula,” katanya lagi.

Oleh itu, beliau meminta supaya penduduk DUN Manir melakukan perubahan dan bersama memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) supaya agenda pembangunan yang selama ini dilaksanakan kerajaan dapat diteruskan tanpa ada sempadan politik di peringkat DUN, negeri dan Pusat.

Katanya, Kerajaan BN menepati janji yang diuar-uarkan, malah banyak kemudahan dan kebajikan yang disediakan kepada penduduk selama ini bukan terkandung dalam manifesto mahupun janji kerajaan, namun tetap dilaksanakan sebagai tanggungjawab kepada rakyat yang memerlukan pembelaan.

 “Kerajaan BN buat lebih 300 rumah murah di kawasan ini, itu kita tidak berjanji pun sebelum ini. Malah, jika BN menang selepas PRU13 nanti, 1,000 lagi rumah rakyat akan kita bangunkan di Manir ini.



“Penduduk perlu sedar sepanjang di bawah wakil rakyat Pas, nasib mereka langsung tidak terbela. Apa yang Pas buat. Langsung tiada melainkan Kerajaan BN dan Pegawai Pembangunan DUN, Encik Yusof menjaga kebajikan penduduk selama ini. Jadi, tiba pilihan raya nanti, satu sahaja saya minta, undilah Barisan Nasional untuk memastikan lebih banyak pembangunan di kawasan ini,” katanya.