Halaman

06 April 2013

Jangan guna rumah ibadat untuk berpolitik

Oleh; Esah Abdullah

Imam bilal yang bertugas di surau-surau di negeri ini digesa supaya menyekat mana-mana individu yang cuba mengunakan rumah ibadat menyemai dakyah benci membenci sesama Islam.

Pengerusi Biro Penerangan Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata, hati-hati dengan individu terutama dari parti pembangkang yang sudah terdesak menggunakan rumah ibadat untuk tujuan berkempen.

“Mereka sudah hilang pertimbangan dan tanpa rasa bersalah telah menggunakan rumah ibadat untuk menjalankan kempen demi kepentingan politik mereka,” katanya ketika berucap di majlis Penyampaian Bantuan Pentadbiran 24 buah Surau dalam DUN Seberang Takir dan Perjumpaan Qariah Solat Jenazah di Pejabat Penyelaras UMNO Seberang Takir di Telaga Daing petang semalam.

Beliau juga mengingatkan pihak pengurusan surau dan masyarakat setempat tidak memasang atau membenarkan bendera parti politik di pasang di kawasan surau bagi mengelak timbulnya salah faham.

“Kesucian rumah ibadat perlu dijaga dengan baik oleh semua umat Islam dan jangan sekali-kali mencampurkannya dengan urusan politik,” katanya.

Pada majlis berkenaan, 24 buah surau dalam DUN berkenaan menerima bantuan pentadbiran berjumlah RM12,000 di mana setiap surau masing-masing mendapat RM500.