Halaman

12 April 2013

Jangan cetus pergaduhan-Polis

Oleh; Esah Abdullah

Polis Kontinjen Terengganu mengingatkan penyokong parti tidak menimbulkan kekecohan yang boleh mencetuskan pergaduhan dalam tempoh berkempen dan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU).

Jurucakap Polis Terengganu Semasa Pilihanraya 13, Superintenden Koh Ah Tiam berkata, pihaknya memandang serius dan akan mengambil tindakan segera mengenai isu yang berlaku menjelang pilihanraya termasuk pemasangan bendera atau poster oleh penyokong parti yang tidak beretika.

“Setakat ini polis menerima lima kes yang dilaporkan mengenai isu pilihanraya masing-masing dua kes Kemaman dan Dungun serta satu di Kuala Terengganu.

``Dua kes di Kemaman berlaku pada 8 April telahpun dituduh di mahkamah pada 10 April lalu dengan jaminan mahkamah sebanyak RM2,000 seorang,’’ katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Terengganu semalam.

Katanya, ini membuktikan pihak polis mengambil serius berkenaan laporan yang melibatkan kejadian menjelang pilihanraya.

 Selain itu, beliau mengingatkan adalah perlu mendapatkan permit daripada pihak berkuasa tempatan sebelum menampal bendera dan poster supaya tidak berlaku perebutan tempat yang boleh mencetus pergaduhan.

``Penyokong parti juga tidak dibenarkan menampal bendera di premis persendirian, kecuali mendapat kebenaran pemilik,’’ ujarnya. Katanya, polis sentiasa membuat pemantauan untuk memastikan semua penyokong parti tidak mengambil tindakan di luar lunas undang-undang.

Menurutnya, parti yang ingin mengadakan ceramah ditempat-tempat awam perlu memaklumkan kepada Ketua Polis Daerah sepuluh hari belum majlis berlangsung bagi memudahkan polis membuat pemantauan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

 Sehubungan itu, orang awam yang ingin mendapatkan pengesahan maklumat mengenai ketenteraman awam dan pilihanraya boleh layari facebook rasmi komuniti Polis Terengganu bagi mendapatkan makluamt yang sahih.

 “Orang ramai boleh layari di https:/www.facebook.com/PDRMTerengganu dan facebook rasmi Polis Diraja Malaysia di https:www.facebook.com.PolisDirajaMalaysia,” katanya.