Halaman

26 April 2013

ISU: ISLAM DAN PERANAN KERAJAAN BN

OLEH: RUSLAN ABDUL RAHMAN

Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa mempertahan dan mengembangkan syiar Islam yang menjadi teras kepada perpaduan ummah di negara ini.

Pimpinan kerajaan menjadikan matlamat untuk menegak, mempertahankan dan mengembangkan Islam sebagai prinsip perjuangan parti.

Sikap pemimpin-pemimpin kita yang sangat istiqamah dalam mempertahankan kesucian Islam walaupun diasak pelbagai dugaan, namun kedudukan Islam terus terpelihara.

Di Terengganu misalnya sebanyak 63 buah masjid baru telah dibina di Terengganu melibatkan peruntukan kira-kira RM315 juta sejak kerajaan Barisan Nasional mengambil alih pemerintahan negeri itu lapan tahun lepas.

Malah dalam tempoh lima tahun yang lalu, kerajaan negeri membina sebanyak 13 buah masjid baru, 23 buah masjid dalam pembinaan dan pengubahsuaian.

Sedangkan perkara ini tidak dilakukan oleh kerajaan sebelumnya, walau pun melaung-laungkan perjuangan Islam.

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) Mohd Rozali Saleh berkata, secara keseluruhannya kini terdapat sebanyak 492 buah masjid di seluruh negeri ini termasuk yang telah dinaik taraf.

Setiap sebuah masjid berkenaan dianggarkan bernilai antara RM4 hingga RM8 juta bergantung kepada kecil atau besar sesebuah masjid berkenaan.

Tahun ini sahaja kerajaan negeri akan membina tiga buah masjid baru iaitu Masjid Paya Pelandang di sini, dan dua lagi di Kuala Terengganu iaitu Masjid Darat di Batu Rakit dan Masjid Kampung Kebur Air di Manir.

Kerajaan negeri dan pusat memberi perhatian serius terhadap perkembangan syiar Islam dengan menyediakan peruntukan yang besar bagi mewujudkan pejabat-pejabat agama yang baru di setiap daerah di seluruh negeri.

Pejabat-pejabat agama di daerah-daerah dulunya begitu daif dan ketinggalan zaman.

Ia telah dibina baru dengan melibatkan peruntukan antara RM3.5 juta dan RM5.5 juta setiap sebuah. Pejabat Agama Daerah Setiu masih lagi dalam pembinaan manakala pejabat agama daerah Marang kini sudah siap sepenuhnya.

Hakikat sebenar yang tidak boleh kita nafikan ialah bahawa kerajaan yang ada pada hari ini amat memberi perhatian terhadap pembangunan keIslaman.

Justeru itu, adalah menjadi tugas semua kalangan umat Islam supaya sama-sama meningkatkan syiar Islam dan menjauhi perbuatan-perbuatan yang boleh menyesatkan, termasuklah menjauhkan diri dengan ajaran-ajaran yang boleh memecah-belahkan perpaduan umat Islam.

Begitu juga kita, umat Islam hendaklah sama-sama membanteras amalan dan gaya hidup bebas yang tidak berakhlak dan menyimpang dari ajaran Islam.

Setiap orang di kalangan umat Islam mempunyai tugas yang sama penting dengan kerajaan untuk menangani kecelaruan akidah dan perkara yang boleh meruntuhkan akhlak seperti agenda lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang cuba merosakkan dan memecahbelahkan umat Islam.

 Untuk tegakkan syiar Islam, kerajaan Barisan Nasional juga telah membangunkan institusi seperti masjid, surau, lantik imam, ambil guru agama dan bagi latihan yang secukupnya kepada pendakwah.

Institusi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di peringkat pusat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, Majlis Agama Islam, Yayasan Islam juga membantu pendidik dan pendakwah selain kerajaan turut membiayai kegiatan berasaskan agama Islam dan menyediakan segala bentuk sokongan yang diperlukan.

Kerajaan yang kita miliki sekarang ini mampu melakukan pelbagai program berteraskan Islam kerana ia mengiktiraf Islam sebagai agama persekutuan yang mana pencapaian ini tidak mampu dilakukan di negara lain.

Kedudukan Islam di negara kita adalah terjamin dalam Perlembagaan Malaysia. Malaysia dihormati oleh negara Islam lain kerana sentiasa menegakkan syiar Islam selain sering dijadikan contoh berhubung kaedah menguruskan pelbagai kaum dan agama.

Oleh itu, jika ada pihak yang cuba menafikan hakikat ini dan menjanjikan yang lebih Islamik, itu hanyalah retorik atau janji-janji kosong sahaja.

Contohnya, mereka menuduh kononnya kerajaan mengamalkan riba, maksiat dan sebagainya sekadar untuk menyedap kata tanpa melihat kepada fakta yang sebenar.

Semasa mereka berkuasa di Terengganu satu pajak gadai Islam pun tidak dibina malah di bawah kekuasaannya beberapa buah pajak gadai riba dengan pemberian kelulusan premis telah wujud.

Namun di bawah kerajaan negeri hari ini, di bawah pimpinan Barisan Nasional telah membina pajak gadai Islam di setiap daerah.

Marilah kita menolak golongan yang hanya memperalatkan nama Islam untuk kepentingan politik sempit dan agenda peribadi.

Marilah kita menolak golongan tertentu yang sanggup mengenepikan perpaduan dan memutuskan hubungan silaturrahim, malah sanggup mengkafirkan orang sesama Islam.

Berwaspadalah dengan orang yang bercakap tentang agama Islam, tetapi di sebaliknya mempunyai agenda politik dan ketamakan kuasa yang melampaui batasan agama.

Bantu dan dokongilah kerajaan masa kini yang terang dan nyata telah meletakkan Islam yang terjamin dalam perlembagaan, menegakkan syiar Islam dan membangunkan umat Islam menuju kejayaan dan kecemerlangan.