Halaman

17 April 2013

PRU13: Ismail optimis bakal tawan Bukit Tunggal

 Oleh: Aida Abd Rahman

Satu-satunya muka baru di Parlimen Kuala Nerus, Haji Ismail Nik yang mengisi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal optimis mampu menawan kembali kerusi itu dari tangan pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

“Sepanjang lima tahun berkhidmat sebagai Pegawai Pembangunan DUN sejak 2008 hingga kini, rakyat di kawasan Bukit Tunggal tidak asing bagi saya. Malah, saya mengenali mereka seorang demi seorang hasil kunjungan ke rumah mereka dan pertemuan di pelbagai majlis keraian.

“Saya mengenali hati budi mereka, saya juga tahu permasalahan yang sering dihadapi rakyat kawasan dan berusaha mengatasinya secara berperingkat-peringkat. Alhamdulillah mereka menerima baik kehadiran saya dan ini petanda baik untuk Barisan Nasional (BN) kembali menawan Bukit Tunggal,” katanya kepada Teganukita, semalam.

Haji Ismail yang juga calon tertua BN bagi PRU13, mahu memastikan perumahan yang menjadi isu dan keperluan utama penduduk di situ mampu ditangani dengan menambah 1,000 rumah mampu milik dalam tempoh empat tahun akan datang.

Sehingga kini, terdapat kira-kira 1,200 unit rumah mampu milik di DUN itu melibatkan 500 unit rumah sudah siap dan lebih 700 sedang dibangunkan yang turut merangkumi kawasan DUN Seberang Takir.

Beliau berkata, pihaknya akan melancarkan kempen secara sederhana menerusi lawatan dan `sentuhan’ ke rumah setiap rakyat yang memerlukan perhatian dan pembelaan sewajarnya.

“Sejak dari dulu lagi dan pada masa akan datang kita akan meneruskan rutin lawatan dan kunjungan ke rumah penduduk sebagaimana pernah dilakukan sebelum ini.

 “Saya akan pastikan nasib dan kebajikan penduduk terbela di bawah pentadbiran Kerajaan BN walaupun mereka di kalangan penyokong pembangkang sekali pun,” katanya.

Menurutnya, kecenderungan dan perubahan penyokong pembangkang kepada BN semakin ketara apabila golongan itu mulai menerima dasar dan pelaksanaan kerajaan BN  menerusi respon positif dalam ceramah dan kunjungannya di kawasan itu.