Halaman

23 April 2013

Gema Gangsa johan pertandingan gamelan kebangsaan 2013

Oleh: Aida Abd Rahman

Kumpulan Gema Gangsa dari Universiti Islam Antarabangsa muncul johan dengan mengenepikan 12 pasukan dalam Pertandingan Gamelan Melayu Peringkat Kebangsaan 2013, di Universiti Malaysia Terengganu, malam tadi.



Kemenangan julung kali itu membolehkan pasukan itu membawa pulang RM10,000 beserta piala iringan, manakala tempat kedua milik kumpulan Alkis Gemawan dari Selangor dan ketiga, Sanggar Kirana dengan masing-masing memperolehi RM8,000 dan RM6,000 termasuk piala iringan.

Sementara Anugerah Khas Juri Persembahan Tradisional Terbaik turut diraih kumpulan Alkis Gemawan sekaligus membawa pulang hadiah tambahan berjumlah RM2,000 serta piala iringan. Manakala 10 kumpulan yang tidak bernasib baik untuk mendapat tiga tempat utama itu, tetap pulang tanpa tangan kosong apabila masing-masing mendapat hadiah saguhati berupa RM3,000 dan sijil penyertaan.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dengan diiringi Pengarah Muzium Negeri Terengganu, Haji Mohd Yusof Abdullah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Pertandingan Gamelan Melayu Peringkat Kebangsaan 2013.

Pertandingan gamelan yang berlangsung dua hari sejak 20 April lalu merupakan program kali kedua anjuran Kerajaan Terengganu bagi mewujudkan satu dimensi baru untuk memartabatkan seni gamelan Melayu ke peringkat yang lebih tinggi dalam pelbagai rentak dan genre gubahan baru.

Selain itu, ia bertujuan mewujudkan peluang kepada pencipta, penggubah muzik serta pencinta gamelan Melayu untuk menonjolkan hasil-hasil ciptaan lagu-lagu tradisi mereka untuk disebarkan kepada umum.