Halaman

17 April 2013

Dato’ Yahya dijangka mampu lawan Hadi

Oleh: Suriati Ali

 Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu yang merupakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Dato’ Haji Yahya Khatib Mohamad dijangka menentang Presiden Pas Dato’ Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen Marang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

 Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Marang mampu memberi kejutan seperti dilakukan Dato’ Haji ’Abdul Rahman yang memenangi kerusi Parlimen itu sebanyak dua kali iaitu pada pilihan raya 2004 dan 1986.

 Berdasarkan sejarah politik kawasan itu, tidak mustahil Dato’ Haji Yahya akan mengulangi sejarah manis BN pada PRU13 dengan memperoleh kemenangan selesa.

Kepercayaan pucuk pimpinan BN Pusat dan negeri merupakan sokongan moral yang amat kuat kepada beliau untuk menentang Presiden Pas itu.

Melihat senario Pas di kawasan itu, ia diakui semakin lemah oleh ramai pihak kerana Presiden Pas sendiri terpalit dengan beberapa isu sensitif, termasuk berkaitan Amanat Haji Hadi, Isu Kalimah Allah serta tindakan Pas bergabung dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Tidak ketinggalan, masalah moral ekoran pendedahan video yang dikatakan mirip Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustaffa Ali.

 Oleh itu, rakyat di peringkat akar umbi, penyokong BN diseru memberi sokongan penuh kepada calon Parlimen Marang. Pencalonan semula, Alias Abdullah di kerusi N17 Alor Limbat dan tiga muka baru iaitu Zaidi Muda di N18 Bukit Payong; Nik Dir Nik Wan Ku (N19 Rhu Rendang); A. dan Latif Awang (N20 Pengkalan Berangan) dilihat mampu memberi peluang cerah kepada BN Marang untuk menyapu bersih kelima-lima kerusi.