Halaman

19 April 2013

BN yakin guru mampu pikat hati masyarakat

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri sentiasa mengiktiraf peranan guru dalam menyumbang kepada pembangunan pendidikan serta mampu mewujudkan keyakinan masyarakat sebagai seorang yang disegani dan rapat dengan ibu bapa pelajar.

 “Pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) juga yakin guru mampu pikat masyarakat akar umbi,” kata Ketua Penerangan Umno Perhubungan Terengganu Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman.

Sehubungan itu katanya, ia telah pun diterjemahkan dengan tersenarainya empat orang warga pendidik sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) 5 Mei ini

Katanya, dua guru dan dua pegawai di Jabatan Pelajaran Negeri yang dimaksudkan ialah Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Haji Mohd Zubir Embong dipilih mewakili calon bagi Parlimen Kuala Terengganu dan Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Encik Zakaria Ali calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura, Dungun.

“Manakala dua guru yang turut menjadi calon pada PRU13 pula, Encik Bazlan Abdul Rahman (DUN Batu Rakit), Setiu dan Encik Ghazali Taib (DUN Ajil) Hulu Terengganu,” katanya di majlis Seminar Keibubapaan Hala Tuju Pendidikan Negeri Terengganu, di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri berkata, keyakinan pucuk pimpinan parti begitu terserlah bukan saja dalam bidang pendidikan malah dalam hubungan dengan masyrakat akar umbi.

 “Saya yakin kreadibiliti guru mampu menarik rakan sekerja untuk menyokong BN kerana kalau bukan rakan siapa lagi yang akan bantu kita,” katanya.

Katanya, dalam Parlimen Kuala Terengganu terdapat 6,000 orang guru dan jumlah itu tidak termasuk isteri atau suami atau anak yang layak mengundi.

“Jadi saya harap semua warga guru bersatu dan mengundi calon BN bagi mengembalikan Parlimen Kuala Terengganu kembali kepada BN pada PRU13 ini,” katanya.