Halaman

16 April 2013

Aku Janji mantapkan pentadbiran BN

Oleh; Esah Abdullah

Alhamdulillah. 18 perkara tambahan Aku Janji Barisan Nasional (BN) Terengganu yang diumumkan Pengerusi BN Terengganu Dato’ Seri Haji Ahmad Said mampu membawa kerahmatan besar kepada rakyat negeri ini.

Ketua Umno Bahagian Hulu Terenganu, Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang berkata, aku janji tambahan itu dilihat menyeluruh dan setiap lapisan masyarakat akan mendapat manfaat bersama.

“Tawaran dalam bidang pendidikan untuk menyediakan insentif khas kepada anak tempatan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) membuktikan kesungguhan kerajaan BN mengubah landskap kehidupan generasi akan datang.

“Paling menarik tawaran untuk Khairat dan Insuran Takaful kepada rakyat di mana kaedah ini meliputi semua rakyat yang ditimpa kemalangan dan juga kematian,” katanya kepada Teganukita di majlis Aku Janji Tambahan BN Terengganu di Taman Tamadun Islam (TTI) Pulau Wan Man, malam tadi.

Katanya, peranan pengundi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) nanti adalah memastikan ia bergerak selari dengan Kerajaan Pusat dan negeri-negeri lain ke arah mencapai negara maju pada 2020.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu itu juga berkata, dengan pembinaan tiga buah lagi sekolah Imtiaz menjadikan semua daerah ada pusat pendidikan Islam bagi membolehkan anak-anak tempatan mendapat pendidikan kelas pertama.

“Buatlah pilihan yang tepat bagi memastikan negeri kita terus berada dihadapan sebagai pusat kecemerlangan ilmu Islam di Nusantara dan juga bidang sukan sebagai satu kerjaya di samping memperkasakan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) dengan menyediakan dana pengurusan,” katanya.

Katanya, kesungguhan BN akan dilengkapkan lagi dengan barisan wakil-wakil professional yang bakal menerajui negeri bagi menjayakan kemakmuran dan kemajuan untuk mendapat kehidupan yang lebih selesa.

“Saya harap semua rakyat terus memberi mandat besar kepada BN untuk meneruskan kesinambungan ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ serta memastikan kebajikan rakyat terus terbela di bawah pemerintahan yang adil dan telus.