Halaman

16 April 2013

Aku janji BN jujur, berdasarkan keupayaan

Oleh: Aida Abd Rahman

Pemuda Barisan Nasional (BN) Terengganu menyifatkan aku janji atau Manifesto Tambahan BN `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ suatu tawaran yang jujur dari sebuah parti yang terbukti mampu menunaikan setiap janji itu berdasarkan prestasi baik pentadbiran sebelum ini.

Ketuanya, Encik Saiful Bahri Baharuddin, berkata aku janji tambahan berkenaan yang menjadi kesinambungan Aku Janji BN Pusat mampu menawan hati rakyat dari semua lapisan khususnya orang muda untuk terus menzahirkan sokongan kepada BN pada hari Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

“Saya amat gembira kerana aku janji ini banyak mensasar golongan muda yang merangkumi empat perkara , iaitu pertama, menyediakan dana pengurusan kepada pertubuhan belia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan kedua, sukan sebagai kerjaya. “Sementara ketiga, mewujudkan gelanggang futsal di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan keempat, tawaran BN untuk membina kompleks litar perlumbaan motosikal bertaraf antarabangsa, suatu manifestasi yang memenuhi kehendak golongan muda ” katanya kepada Teganukita, malam tadi.

Encik Saiful Bahri berkata, 18 aku janji yang bertujuan menjaga kepentingan dan kebajikan seluruh rakyat terutama golongan yang berpendapatan rendah itu akan menambat hati majoriti rakyat untuk terus memberi kepercayaan dan mandat kepada BN supaya kekal mentadbir Terengganu.

Beliau berkata, minda rakyat lebih terbuka untuk menilai mana yang lebih baik sama ada manifesto BN atau pembangkang kerana kebanyakannya sudah melalui pengalaman bagaimana kegagalan pembangkang menunaikan janji mereka ketika mendapat mandat pemerintahan ketika PRU10 lalu.

“Manifesto pembangkang tidak lebih dari satu angan-angan kosong dan berbeza dengan BN kerana menjanji perkara yang boleh kita tunaikan sebagai parti yang terbukti mempunyai prestasi baik dalam pentadbiran dan berjaya dalam segenap aspek.

“Rakyat boleh menilai sendiri janji pembangkang yang tidak relevan termasuk dalam soal menjanjikan 17,000 peluang pekerjaan kepada rakyat dalam tempoh tiga tahun sekiranya mereka mampu memerintah negeri ini, janji itu tidak berasas ,” katanya.

Terdahulu, BN Terengganu melancarkan Aku Janji BN Terengganu mengandungi 18 perkara yang bakal dilaksanakan di Terengganu jika mendapat mandat rakyat untuk terus memerintah negeri ini selepas PRU13. Manifesto Tambahan BN Terengganu itu diumumkan Pengerusi BN Negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dengan disaksikan ketua-ketua dan pemimpin-pemimpin parti komponen BN Terengganu di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, malam tadi.

Antara janji BN yang terkandung dalam manifesto berkenaan ialah membina 10,000 unit rumah mampu milik, peluang rakyat memiliki 1 tapak rumah atau 1 tapak pertanian dan pajakan tanah individu dinaikkan dari 30 tahun kepada 60 tahun.

BN juga berjanji akan menyediakan insentif khas untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang kritikal dan memperkasakan program e-Book.

 Selain itu, BN juga akan membina tiga lagi Sekolah Imtiaz iaitu di Setiu, Marang dan Kuala Nerus bagi menjadikan satu daerah satu Imtiaz. Pada masa yang sama, BN akan memperkenalkan Khairat dan Insurans Takaful Rakyat serta memperluaskan perkhidmatan pusat hemodialisis.