Halaman

05 April 2013

678,642 orang layak mengundi di Terengganu

Seramai 678,642 penduduk negeri ini yang telah mendaftar sebagai pemilih dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) layak mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Mengikut perangkaan SPR, berdasarkan bilangan daftar pemilih terbaru yang disahkan sehingga Disember tahun lalu, seramai 678,642 orang daripada keseluruhan 718,999 penduduk di negeri ini yang layak mengundi, telah mendaftar sebagai pemilih.

 Mereka merupakan sebahagian daripada 13,291,385 orang di seluruh negara yang layak mengundi pada PRU13 yang bakal diadakan dalam tempoh terdekat.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, mengumumkan pembubaran Parlimen selepas mesyuarat Kabinet Rabu lalu bagi memberi laluan kepada PRU13.

Pengundi di Terengganu akan menentukan pemilihan wakil rakyat bagi mengisi 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lapan kerusi Parlimen di Terengganu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12, Barisan Nasional (BN) memperolehi majoriti dua pertiga apabila menang 24 daripada 32 kerusi DUN. BN juga menang tujuh daripada lapan kerusi Parlimen.