Halaman

05 April 2013

3,400 Puteri penggerak IT PRU13

Oleh: Aida Abd Rahman

Seramai 3,400 Puteri Umno Terengganu dikerahkan sebagai jentera penggerak Teknologi Maklumat (IT) bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), tidak lama lagi.

Setiap 340 Pusat Daerah Mengundi (PDM) akan diwakili 10 Puteri yang terlatih bagi memantau dan melancarkan proses memasukkan data serta sebarang maklumat berkaitan daftar pemilih dan pengundian.

Ketuanya, Puan Nordiana Shafei, berkata semua jentera Puteri sudah lama bersiap sedia, iaitu sejak PRU12 lalu dalam mengemaskini sistem IT, selain sebahagiannya lagi bertindak sebagai perayu undi bersama Wanita Umno yang memasuki setiap cawangan.

“Kita sudah bersedia dan memahirkan diri sebaik selepas PRU12 lagi. Selepas berehat sekejap kita menyambung tugas serta meneruskan semual latihan supaya jentera Puteri lebih mahir menguruskan sistem IT itu.

“Semua PDM sudah kita lengkapi dengan jentera Puteri masing-masing dan kelengkapan bagi berdepan PRU13,” katanya.

Puan Nordiana berkata, berdasarkan pengalaman dan latihan mantap yang disediakan pihaknya, pengurusan, Puteri tidak berdepan masalah bagi membantu melancarkan jentera parti bagi berdepan PRU yang akan berlangsung bila-bila masa sahaja.

Beliau berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan Pemuda Umno untuk mengenal pasti pengundi pertama kali atau dikenali sebagai ‘first timer vouters’ dan proses kemaskini data mula dilaksanakan sejak tahun lalu lagi.